Redmi 1S: Telefon Pintar Raya

Selepas memperkenalkan Mi3 di Malaysia, Xiaomi kembali memperkenalkan telefon pintar terbaru, Redmi 1S yang mula dijual secara ‘online’ semalam.

Model Redmi 1S yang akan dijual di Malaysia berbeza dengan versi asal Redmi atau dikenali dengan Hongmi di China kerana ia adalah versi yang dipertingkatkan dilengkapi CPU Qualcomm Snapdragon 400 Quad Core berkelajuan 1.6GHz dan dipadankan dengan GPU Adreno 305.
Memori dalamannya sebesar 8GB manakala RAM pula 1GB dan dilengkapi slot mikroSD yang membolehkan penambahan memori sehingga 64GB.

Rekaannya tidaklah kelihatan premium, sesuai dengan sasaran jualan dan harganya. Ia menggunakan penutup belakang plastik yang boleh dibuka untuk menukar bateri, kad SIM dan kad memori SD.

Di bahagian belakang terdapat kamera dan LED Flash serta pembesar suara di tepi kamera selain logo Mi di bawah.

Pada bahagian tepi kanan terdapat butang kawalan suara dan butang kuasa sementara di bahagian bawah terdapat slot mikroUSB untuk data dan mengecas bateri. Di atas pula terdapat slot untuk fon telinga 3.5mm.

Ia memaparkan skrin 4.7 inci menggunakan paparan IPS yang membolehkan skrin dilihat sehingga sudut 178 darjah dari tepi turut menyokong resolusi HD setinggi 1280 x 720 yang membawakan kepadatan piksel 312 ppi.

Berbeza dengan Mi3, Redmi 1S menyokong slor dwi SIM yang aktif sepanjang masa. Tetapi hanya satu SIM yang menyokong 3G manakala SIM kedua hanya 2G.

Ia masih menggunakan mini SIM jadi jika anda mempunyai mikro SIM, anda perlu mencari adapter untuk menjadikannya mini SIM.

Selain itu, Redmi 1S mempunyai bateri boleh ubah berkapasiti 2000mAH dengan kamera belakang Redmi 1S mampu merakam gambar sehingga 8MP manakala kamera hadapan 1.6MP saja.

Spesifikasi ini mungkin tidak sehebat mana, tetapi cukup untuk merakam gambar yang jelas dalam suasana terang.

Fungsi HDR juga terdapat pada kamera ini untuk memberi warna yang lebih hidup pada gambar.

Terdapat juga beberapa filter untuk digunakan bagi menjadikan gambar lebih menarik, tetapi Redmi 1S tidak mempunyai fungsi meneka umur dan jantina serta mencantikkan muka yang terdapat pada Mi3.

 

INFO XIAOMI REDMI 1S
Pengeluar: Xiaomi
Laman FB: XiaomiMalaysia
Harga: RM419
Ciri: Telefon Android harga patut
Pro: Dua slot kad SIM
Kontra: Tiada 4G

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.