Kemelut MB : ADUN Pas Tampil Pertahan Khalid

Kuala Lumpur – Seorang Exco Selangor ‘meluahkan’ kekecewaan beliau berikutan kemelut kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan Selangor dari PAS Dr Ahmad Yunus Hairi, dalam laman sosial facebook peribadinya, mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin Pakatan Selangor yang menurutnya, seolah galak dengan agenda tersendiri berbanding membela rakyat negeri.

“Adakah kini tradisi membela rakyat kini menjadi agenda terkebawah di dalam keutamaan pimpinan Pakatan Rakyat Selangor dan agenda perubahan tampuk tertinggi selaku Penguasa Utama Negeri Selangor menjadi impian dan harapan mutlak untuk penggal kedua pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor kali ini,” tulis beliau dalam satu ‘post’ panjang hari ini.

Kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini dikritik hebat oleh sekutu beliau dalam Pakatan sendiri.

Malah beberapa pemimpin PKR secara terbuka membuat kenyataan mengenai keperluan Khalid mengosongkan kerusi yang didudukinya sejak enam tahun lalu.

Ahmad Yunus yang dilantik menjadi exco selepas bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dipecat pasa 2012 tidak menyebut secara spesifik siapakah peminpin yang dimaksudkan.

Beliau yang juga ADUN PAS Sijangkang berulang-kali dalam tulisannya mengingatkan kepimpinan Pakatan Rakyat tidak berebut kuasa dan memikirkan perasaan rakyat.

“Ribut apakah yang melanda Pakatan Rakyat Selangor sehingga menyebabkan kapal yang sudah selesa belayar teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan lalu menyebabkan rakyat menjadi tidak selesa dan muntah meloya.

“Tidakkah disedari oleh kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor keributan permasalahan dalaman ini secara terbuka boleh mengundang persepsi meluat dan menyampah di kalangan rakyat Selangor yang akan menyamakan kepimpinan Pakatan Rakyat kini tidak ubah seperti kepimpinan Barisan Nasional yang cukup suka berbalah dengan agenda perebutan jawatan,” kata beliau.

Ahmad Yunus meminta agar kesemua pemimpin dari parti komponen agar tidak terpengaruh dengan taktik musuh politik mereka yang cuba mengambil kesempatan atas pergaduhan sesama sendiri.

“Apakah tiada cara yang paling baik dan halus untuk melakukan transisi perubahan sekiranya perlu secara berhemah dan teratur. Kenapa perlu diributkan sehingga boleh memberikan tanggapan yang salah kepada rakyat Selangor.

“Adakah kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor kini sedang dihinggapi virus dengki dan iri hati yang menjadi penyakit wajib pimpinan Barisan Nasional?” soal beliau.

Kelab penyokong kerajaan DUN Selangor sebelum ini dilaporkan dalam perbincangan untuk mendesak Khalid melepaskan jawatan menteri besar.

Difahamkan sebilangan besar ADUN PKR dan DAP telahpun bersetuju menolak Khalid sementara PAS mengikut keputusan tertinggi parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.