Tangguh Dulu Cadangan Naik Kadar Bayaran Di Hospital, Klinik Kerajaan – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan digesa menangguhkan cadangan menaikkan kadar fi atau bayaran yang dikenakan kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan awam.

Gesaan itu di buat Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta perkara itu diteliti semula dan tidak dilaksanakan dengan tergesa-gesa

“Saya ingin mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ini akan menambah lagi beban rakyat.

“Rakyat pada masa ini sedang menanggung sengsara akibat kenaikan harga barangan keperluan harian, kenaikan kadar inflasi, kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) dan yang terbaharu kenaikan tarif elektrik,” katanya ketika membahaskan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Kertas Putih Kesihatan itu dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, hari ini.

Lapor BH, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencadangkan bagi meringankan beban rakyat, kerajaan boleh mengecualikan golongan B40 daripada dikenakan bayaran.

Katanya, berdasarkan kajian-kajian yang dibuat kerajaan kini , ramai yang tidak tergolong di dalam kelompok B40 sudah jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak.

“Dalam beberapa kajian yang saya lihat, termasuk yang dikeluarkan oleh Merdeka Center baru-baru ini, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun lalu dan ini tidak terhad kepada golongan B40 saja,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan pembelian strategik katanya beliau bersetuju dengan langkah itu yang boleh dilaksanakan bagi memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama.

Katanya, langkah itu juga mampu mempercepatkan pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat sebagaimana yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Untuk tempoh ke hadapan ini, program pembelian strategik wajar diberikan keutamaan, tetapi dengan beberapa peringatan.

“Pertama, pembekal perkhidmatan kesihatan yang terlibat mestilah dipastikan memenuhi standard pencapaian yang ditentukan oleh kerajaan.

“Kedua, mesti ada struktur tadbir urus yang komprehensif untuk memantau kualiti perkhidmatan yang diberikan agar ianya setimpal dengan nilai wang yang dibelanjakan.

“Ketiga, ia mesti lebih menjimatkan perbelanjaan kesihatan yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Beliau juga mempertikaikan kandungan Kertas Putih itu tidak memperincikan badan yang akan dilantik sebagai Pembeli Strategik yang diasingkan daripada fungsi Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Disebut di dalam Kertas Putih ini, KKM akan distruktur semula di mana fasiliti sektor awam akan menjalankan peranan sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan manakala, Pembeli Strategik yang bukan berasaskan keuntungan pula bertanggungjawab memperoleh perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada sektor awam dan swasta,” katanya .

Turut membangkitkan isu bayaran fasiliti kesihatan, Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang mahu kumpulan rentan dan B40 tidak dibebani dengan kenaikan bayaran.

Katanya, apa pun kaedah yang akan diperkenalkan termasuk insurans kesihatan nasional perlu difikirkan rakyat yang tidak berkemampuan yang mana rawatan yang diterima nanti setanding dengan golongan yang berkemampuan.

Beliau juga mahu Kementerian Kesihatan mengambil berat isu kekurangan tenaga kerja kesihatan seperti jururawat dan pegawai pembantu perubatan.

“Saya juga mahu kumpulan pemantau kesihatan yang ditubuhkan nanti dapat menjadi kumpulan semak dan imbang bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan seimbang antara yang diberikan kerajaan dan swasta,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat