Malaysia Hadapi Kejatuhan 4 Indeks Prestasi Serentak – Pensyarah

1. Ini fakta dan data terbaharu yang mengejutkan kita. Ranking terkini yang diterbitkan badan analisis indeks tersohor dunia iaitu Islamicity Foundation menunjukkan bahawa negara kita telah jatuh merudum dalam bukan satu, bukan dua, bukan tiga, tetapi empat indeks berbeza.

2. Keempat-empat indeks tersebut ialah Indeks ‘Economy’, Indeks ‘Political Rights’, Indeks ‘International Relations’, serta kedudukan keseluruhan kita dalam ‘Islamic Index’ berbanding 152 negara lain di dunia.

3. Paling mengecewakan tentulah hakikat bahawa kita kini telah kehilangan status sebagai negara Islam terbaik yang dipegang sejak 2017 apabila kita kini jatuh di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Albania.

4. Kejatuhan terbesar dicatat dalam Indeks Hak Berpolitik di mana kita jatuh merudum sebanyak 13 anak tangga berbanding tahun 2016 (tangga ke-66) iaitu kini di tangga ke-79. Jika dibandingkan dengan tahun 2017, kita jatuh lapan anak tangga.

5. Berbanding tahun 2017, indeks Ekonomi kita jatuh sebanyak tujuh anak tangga iaitu dari tangga ke-24 (2017) ke tangga ke-31.

6. Indeks ‘International Relations’ kita pula jatuh lapan anak tangga berbanding tahun 2016 iaitu dari kedudukan ke-43 jatuh ke kedudukan ke-51.

7. Kemuncaknya, ranking keseluruhan Islamicity Index kita jatuh ke kedudukan ke-47, iaitu kedudukan terburuk yang pernah dicapai negara kita dalam sejarah perincian Islamicity Index sejak 2015.

8. Indeks ‘Legal and Governance’ kita turut jatuh merudum jika dibandingkan dengan kedudukan terbaik kita pada tahun 2015 iaitu dari tangga ke-24 ke tangga ke-49 hari ini (25 anak tangga!). Namun jika dibandingkan dengan tahun 2017, kedudukan kita dalam indeks ini tiada perubahan.

9. Sejak pengenalan perincian Islamicity Index kepada empat indeks berbeza pada 2015, kedudukan terkini kita di ranking ke-47 dunia ini ialah kedudukan terburuk yang pernah kita capai, berbanding kedudukan ke-43 pada 2015, ke-41 pada 2016, dan di tangga ke-43 pada tahun 2017.

10. Kesemua empat indeks berbeza yang menentukan kedudukan ranking kita dalam Islamicity Index ini – Indeks Ekonomi, Indeks Hak Berpolitik, Indeks Undang-undang dan Tadbir Urus, serta Indeks Hubungan Antarabangsa – adalah diukur berdasarkan pelbagai komponen kriteria yang tersendiri.

11. Bagi Indeks Ekonomi, terdapat 11 komponen yang menjadi ukuran iaitu ‘Economic Opportunity and Economic Freedom’ (Peluang dan kebebasan ekonomi), ‘Equal access to Education and Health care’ (akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan), ‘Job Creation and Equal Access to Employment’ (penciptaan peluang pekerjaan dan akses pekerjaan), ‘Property Rights and Sanctity of Contracts’ (hak pemilikan dan penegakan kontrak), ‘Prevention of Corruption’ (pencegahan rasuah), ‘Provision of Poverty, Provision of Aid and basic Human need’ (bantuan kepada orang miskin dan keperluan asas), ‘Taxation and Social Welfare’ (percukaian dan kebajikan sosial), ‘Supportive Financial System’ (sistem kewangan yang menyokong), ‘Adherence to Islamic Finance’ (kepatuhan kepada kewangan Islam), ‘Economic Prosperity’ (kemakmuran ekonomi), dan ‘Economic Justice’ (keadilan ekonomi).

12. Bagi Indeks Undang-undang dan Pentadbiran (Legal & Governance) pula, terdapat empat komponen yang diukur iaitu ‘legal integrity’ (integriti badan perundangan & kehakiman), ‘management index’ (indeks pengurusan), ‘government governance’ (tadbir urus kerajaan), dan ‘perceptions about the government’ (persepsi terhadap kerajaan).

13. Indeks Hak Asasi Manusia & Berpolitik (Human & Political Rights) pula diukur berdasarkan lima dimensi berikut: ‘human development’ (pembangunan insan), ‘civil and political rights’ (hak-hak sivil dan hak-hak berpolitik), ‘women’s rights’ (hak wanita), ‘global democracy’ (demokrasi global), serta ‘perceptions of well-being’ (persepsi kesejahteraan hidup).

14. ‘International Relations Islamicity Index’ pula diukur berdasarkan dua dimensi komponen utama iaitu ‘globalization’ (penyertaan dalam proses globalisasi) dan ‘militarization index’ (indeks pembangunan ketenteraan).

15. Berikut ialah ringkasan ranking kita yang terkini: ‘Economy’ (ke-31), ‘Legal and Governance’ (ke-49), ‘Human and Political Rights’ (ke-79), ‘International Relations’ (ke-51), dan kedudukan keseluruhan ‘Islamic Index’ (ke-47).

16. Berikut pula ialah ringkasan ranking kita menurut pecahan indeks bagi tahun 2017: ‘Economy’ (ke-24), ‘Legal and Governance’ (ke-49), ‘Human and Political Rights’ (ke-71), ‘International Relations’ (ke-48), dan kedudukan keseluruhan ‘Islamic Index’ (ke-43).

17. Pada tahun 2016, ringkasan ranking kita menurut pecahan indeks ialah seperti berikut: ‘Economy’ (ke-27), ‘Legal and Governance’ (ke-40), ‘Human and Political Rights’ (ke-66), ‘International Relations’ (ke-43), dan kedudukan keseluruhan ‘Islamic Index’ (ke-41).

18. Bagi tahun 2015 pula, ringkasan kesemua dimensi ranking indeks ini adalah seperti berikut: ‘Economy’ (ke-38), ‘Legal and Governance’ (ke-24), ‘Human and Political Rights’ (ke-76), ‘International Relations’ (ke-45), manakala kedudukan keseluruhan ‘Islamic Index’ (ke-43).

19. Semua data boleh diakses secara terbuka di sini:

i. Indeks 2018: http://islamicity-index.org/wp/latest-indices-2018/

ii. Indeks 2017: http://islamicity-index.org/wp/indices2017/

iii. Indeks 2016: http://islamicity-index.org/…/uploads/2017/12/2016.pdf

iv. Indeks 2015: http://islamicity-index.org/pdf/Rankings2015.pdf

v. Perincian penilaian setiap Indeks: http://islamicity-index.org/wp/links-downloads/index-elements/

Diharapkan kesemua fakta dan data ini menjadi peringatan keras kepada para menteri kabinet Pakatan Harapan hari ini. Mereka kini mempunyai dua pilihan sahaja iaitu sama ada berusaha keras untuk mengembalikan semula maruah negara yang kini tercalar di pentas antarabangsa atau letak jawatan.

Ingatlah dua amaran junjungan besar nabi kita ini:

“Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu” (HR Bukhari).

“Barangsiapa yang memegang kuasa tentang sesuatu urusan kaum Muslimin, lalu dia memberikan suatu tugas kepada seseorang, sedangkan dia mengetahui bahawa ada orang yang lebih baik daripada orang itu, dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Muslimin” (Hadis Riwayat Al-Hakim).

* Penulis, Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.