Haziq Dibebaskan Dengan Jaminan Polis Selepas Beri Keterangan

KUALA LUMPUR- Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam dibebaskan dengan jaminan polis sebentar tadi.

Haziq, 27, dibawa keluar dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi menaiki kereta Proton Persona pukul 5.48 tadi.

Dia dipercayai duduk di bahagian belakang bersama peguamnya, Sivahnanthan Ragava.

Bagamana pihak media tidak dapat memastikan lokasi yang akan dituju oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Santubong itu.

Sebelum itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md. Akin dilihat memasuki perkarangan IPD kira-kira jam 4.30 petang menaiki kenderaan jenis Proton Preve dengan diiringi beberapa anggota polis.

Sementara itu, peguam utamanya, Ramesh Sivakumar berkata, Haziq kini bebas bergerak ke mana sahaja selepas ini termasuk ke luar negara.

“Kami gembira kerana pegawai penyiasat menunaikan janji bahawa Haziq tidak akan direman sebaliknya akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Proses siasatan berjalan lancar dan dia berada dalam keadaan baik.

“Siasatan ke atas Haziq sudah selesai sekiranya ada apa-apa lagi diperlukan polis selepas ini, dia akan hadir beri kerjasama,” katanya kepada media.

Ramesh bagaimanapun berkata anak guamnya belum bersedia untuk bertemu atau memberikan sebarang kenyataan kepada media dan memerlukan waktu untuk bertenang.

Pagi tadi Haziq telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan perubatan.

Semalam, ketika tangkapan dibuat, Haziq berada di terminal pelepasan antarabangsa dan berdasarkan tiket penerbangan dan dijadualkan berlepas ke Manila.

Siasatan dijalankan mengikut peruntukan beberapa seksyen termasuk Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Beliau sebelum itu mengaku salah seorang daripada dua individu dalam video intim yang tersebar awal minggu lalu.

Haziq Abdullah juga menuduh seorang lagi individu dalam video berkenaan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.