Tak Perlu Ganggu Isteri Orang – Che Ta

KUALA LUMPUR – Pelakon Popular, Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta menjelaskan bahawa tindakannya memuatnaik status berbaur amarah gara-gara gangguan daripada seorang artis baharu sebagai jalan terakhir.

Menurut beliau, teguran secara baik pernah diberikan namun individu tersebut tidak mempedulikannya sehingga menyebabkan beliau terpaksa mengambil langkah drastik dengan memuat naik gambar individu tersebut beserta status ‘amaran’ terhadapnya.

“Sebagai saudara, saya sakit hati mendengar luahan mengenai isterinya yang mabuk cinta dengan ‘pengkid’ hingga mengabaikan tanggungjawab di rumah. Lebih menyedihkan apabila anak kecil mereka yang baharu mencecah berusia sembilan bulan juga diabaikan.

“Karakter isterinya itu berubah dan dia menjadi wanita berbeza selepas mengenali individu terbabit. Jalan akhir adalah dengan mengambil langkah membuat luahan terbuka supaya dia sedar diri.

“Sebelum ini pun saudara saya sudah bertemu untuk berbincang secara baik, namun keadaan semakin melarat. Harapan saya, dia sedar tidak baik memporak perandakan rumah tangga orang,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kesalnya terhadap penyanyi tersebut kerana menganggu isteri saudaranya dan mendakwa menyimpan bukti perbualan kedua-duanya.

“Ramai lagi orang di luar sana, kenapa perlu mengganggu isteri orang? Adakah setelah diberi amaran, dia menganggap dirinya seperti dicabar? Saya tahu dia menafikan perkara ini kepada media dan anggap diri tidak bersalah, namun saya ada bukti,” ujarnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.