Samsung Kekal Jenama Nombor 1 Asia

KUALA LUMPUR – Samsung kekal di tempat pertama bagi 1,000 jenama teratas di Asia untuk tahun ketujuh berturut-turut di sebalik kontroversi yang melanda model Samsung Galaxy Note 7 dan skandal politik membabitkan kepimpinan syarikat tersebut.

Ketua Kandungan Campaign Asia-Pacific, Robert Sawatzky berkata, beberapa syarikat mempunyai kekuatan jenama untuk terus bertahan selepas mengalami krisis seperti yang dihadapi oleh Samsung, yang terpaksa memanggil semula Samsung Galaxy Note 7 dengan kos AS$5 bilion (RM21.31 bilion).

“Ia jelas membuktikan strategi Samsung yang telus bagi menangani krisis Samsung Galaxy Note 7 telah berjaya.

“Dengan penarikan semula produk tersebut serta menjelaskan dan memperincikan masalah yang menimpa Samsung Galaxy Note 7, jenama itu telah meyakinkan pengguna bahawa produk Samsung pada masa akan datang akan lebih selamat. Ia sekali gus membuktikan Samsung terus kekal nombor satu dalam kaji selidik ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kaji selidik tersebut dijalankan di 13 negara iaitu Korea Selatan, Australia, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam dengan kerjasama firma penyelidikan Nielsen.

Jenama pesaing Samsung, Apple berada di tempat kedua manakala Sony, Nestle dan Panasonic ma­sing-masing di tempat lima teratas kaji selidik berkenaan.

Kaji selidik itu dijalankan ke atas 400 responden bagi setiap pasaran kecuali India dan China yang masing-masing dijalankan ke atas 800 dan 1,200 responden.

“Kajian ini meliputi 16 kategori jenama utama daripada alkohol kepada perkhidmatan kewangan, barangan elektronik pengguna, automotif, serta lebih daripada 70 subkategori.

“Selain daripada jenama mendahului senarai, data tahun ini mendedahkan beberapa trend menarik untuk sepanjang tahun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.