Lelaki Bakar Isteri Berdepan Tuduhan Membunuh

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang membakar isterinya hujung bulan lalu sehingga mangsa meninggal dunia, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan membunuh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh V Mathiyalagan, 46, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Fairuz 3 di Taman Arked di sini, kira-kira jam 12 tengah hari pada 26 Mei lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Majistret menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Sebelum ini media melaporkan tindakan tertuduh yang dua tahun hidup sebagai gelandangan, membakar isterinya, R Ratna, 44, ketika mangsa sedang memasak di belakang rumah.

Mangsa yang juga ibu kepada tiga anak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, sebelum meninggal dunia akibat kecederaan serius kira-kira dua minggu selepas dirawat.

Berdasarkan maklumat, pasangan itu sudah hampir 10 tahun hidup berasingan dan dalam proses untuk bercerai. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.