Laporan Idris Jala Berkaitan FGV Sudah Siap – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Idris Jala sudah menyiapkan laporan berkaitan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Idris merupakan individu yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu FGV bagi mencari penyelesaian berhubung isu arahan bercuti kepada empat pengurusan kanannya susulan siasatan salah laku.

“Laporan telah siap tetapi saya mahu beliau melihat beberapa langkah dan pilihan,” kata Najib.

Beliau berkata pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2017 di kementerian kewangan semalam.

Tambah beliau, kerajaan sedang meneliti penyelesaian terhadap perkara itu berdasarkan kepada tiga prinsip utama iaitu mematuhi undang-undang syarikat, selaras urus tadbir baik dan proses siasatan yang adil.

Idris diumumkan sebagai ‘orang tengah’ untuk mencari penyelesaian isu FGV, di mana beliau berperanan sebagai pihak bebas bagi menyusun serta menyediakan fakta mengenai arahan bercuti kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (CEO), Datuk Zakaria Arshad dan tiga lagi pengurusan kanan syarikat, dan seterusnya memberi cadangan kepada FGV berhubung perkara tersebut.

Pelantikan itu dibuat setelah perbincangan yang diadakan dengan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk pemegang saham terbesar FGV, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV sendiri.

Idris merupakan bekas Presiden dan CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), mempunyai pengalaman luas di dalam bidang tadbir urus korporat serta pemulihan syarikat termasuk ketika mengetuai syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS).

Beliau juga sebelum ini merupakan antara individu yang dilantik di dalam pasukan pemulihan Proton Holdings Bhd. (Proton) untuk membantu syarikat kereta itu mencari rakan strategik antarabangsa. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.