Lagi Mangsa Buli dan Pukul Meninggal Dunia

GEORGE TOWN – Remaja lelaki yang dibuli dan dipukul sehingga mengalami kecederaan parah oleh sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lepas di Jalan Kaki Bukit, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata pihaknya menerima maklumat daripada HPP mengenai kematian T. Nhaveen, 18, pada 6 petang ini.

“Remaja itu yang cedera parah dalam kejadian berkenaan dilaporkan mati otak.Polis akan menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.

Katanya tiga remaja berusia 18 hingga 19 tahun yang tamat reman esok akan direman semula manakala dua pelajar tingkatan empat dan lima juga akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dalam kejadian 2.10 pagi Sabtu lalu, Nhaveen cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki manakala rakannya berusia 19 tahun melarikan diri untuk mendapatkan pertolongan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.