Kronologi Nahas Pesawat TUDM Dalam Tempoh Tiga Dekad

KUALA LUMPUR – Berikut kronologi insiden melibatkan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk yang terhempas dan mendarat cemas sejak 1991.

* 22 Okt 1991 — Jurulatih penerbangan terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di Kepala Batas, Kedah.

* 27 Feb 1992 — Dua juruterbang terselamat semasa pesawat Pilatus PC-7 yang mereka naiki mendarat cemas di Padang Sekolah Menengah Sanglang, Kedah.

* 11 Julai 1993 — Juruterbang terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas dalam sawah padi Kampung Cemumar, Perlis .

*13 Okt 1993 — Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat ringan Cessna 402 yang mereka naiki terhempas di Kampung Seputeh dekat Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur .

* 15 April 1996 — Pesawat Aermacchi MB-339 milik TUDM terhempas kira-kira 30 batu nautika dari Pantai Mersing, Johor, berhampiran dengan Pulau Yu. Juruterbang terselamat.

* 17 April 1996 — Juruterbang pesawat pejuang F-5E terselamat apabila pesawat itu terbakar dan merempuh halangan keselamatan di penghujung landasan Pangkalan Udara Kuantan, Pahang .

* 18 Jun 1996 — Pesawat Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan dekat Pangkalan TUDM, Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.

* 23 Julai 1996 — Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan, Labuan. Dua juruterbang terselamat.

* 3 Sept 1998 — Pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan terhempas di selatan Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang, kira-kira 6.4km dari pangkalannya, tetapi juruterbangnya terselamat.

* 10 Sept 1998 — Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang, kira-kira 200km dari Kota Bharu, Kelantan.

* 24 Mei 1999 — Pesawat Caribou terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak, menyebabkan semua lima orang di dalamnya terbunuh.

* 2 Okt 2000 — Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.

* 10 April 2001 — Juruterbang pelatih maut setelah pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di sawah berhampiran Kampung Kepala Parit, Kedah.

* 23 Jan 2002 — Pesawat Aermacchi MB-339 terhempas di kawasan hutan Tasik Kenering berhampiran Empangan Air Kala di Gerik, Perak. Dua juruterbang terselamat.

* 12 Ogos 2003 — Juruterbang pelatih wanita terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-& yang dikendalikannya terhempas di sebuah kebun getah dekat Kampung Lembah Keriang di Sintok, dekat Jitra, Kedah.

* 18 Dis 2003 — Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.

* 27 Mei 2004 — Juruterbang pelatih terbunuh apabila pesawat latihan Pilatus PC-7 terhempas berhampiran Kampung Padang Gelanggang, Sanglang, Kedah.

* 9 Nov 2004 — Pesawat MiG-29N terhempas di ladang kelapa sawit Ketengah Perwira, Kemaman, Terengganu. Juruterbang terselamat.

* 16 Dis 2004 — Juruterbang pelatih dan jurulatihnya terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 dari Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia, Kepala Batas, Kedah, terhempas.

* 23 Jun 2005 — Jet pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, Labuan, mengorbankan juruterbangnya.

* 11 Mei 2006 — Pesawat latihan Pilatus PC-7 milik TUDM terhempas di kawasan sawah di Kampung Ujung Padang, Kedah. Dua juruterbang terselamat.

* 4 Mei 2007 — Pesawat Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.

* 11 Sept 2009 — Pesawat Pilatus PC-7 Mark II terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah. Dua juruterbang terbunuh.

*25 Mac 2010 — Juruterbang terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang dikendalikannya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.

* 26 Feb 2016 — Pesawat CN235 mendarat cemas di pesisir pantai Kuala Selangor berikutan kerosakan enjin. Kesemua lapan anak kapal terselamat dengan bantuan nelayan.

* 17 Mei 2016 — Jurulatih dan pelatih terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB-339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan, Pahang.

* 4 Okt 2016 — Helikopter Nuri terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah. Sebanyak 14 anggota tentera cedera.

* 21 Dis 2016 — Juruterbang maut manakala tiga lagi cedera apabila pesawat Beechcraft B200T yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

* 15 Jun 2017 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 dikhuatiri hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang, setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.