Video: Rafizi Kecut Nak Jumpa Pegawai Rosmah

KUALA KANGSAR – Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini disifatkan sebagai pengecut apabila enggan bersemuka dengan Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berhubung dakwaan liar mengenai  penggunaan jet peribadi kerajaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

 

Rizal yang tiba dari Kuala Lumpur telah dihalang untuk menghadiri sidang akhbar yang diadakan oleh Rafizi di ibu pejabat Parti Amanah Negara (PAN) di Kuala Kangsar sebentar tadi.

 

Paling menarik Rafizi dikatakan enggan bersemuka enggan Rizal sehingga terpaksa mengunakan pintu belakang ketika memasuki bangunan tersebut.

 

Melalui rakaman video yang diterima SuaraTV, para petugas PAN dilihat menghalang Rizal untuk memasuki tempat sidang media itu dijadualkan berlangsung.

 

 

“Saya nak dengar sendiri apa dia kata kerana sebelum ini semuanya berdasarkan laporan media.

 

“Tak kan itupun tak boleh, apa yang takut sangat saya hanya nak ambil nota catatan,” katanya kepada beberapa orang petugas PAN yang menjaga pintu masuk bangunan tersebut.

 

“Tak boleh, aku tak peduli apa masalah kau dengan Rafizi tapi ini tempat aku.

 

“Rafizi tak ada kat sini dia kat atas,” kata salah seorang petugas PAN tersebut dengan kasar.

 

Malah beberapa orang petugas media yang hadir untuk membuat liputan media itu turut dihalang dan dimarahi petugas PAN tersebut.

 

 

Dalam pada itu, Rizal yang ditemui selepas insiden tersebut menyifatkan tindakan menghalangnya itu bercanggah dengan konsep kebebasan bersuara yang sering dilaungkan PKR.

 

“Tiga hari berturut – turut YB Rafizi Ramli menyebut tentang Datin Seri Rosmah dan penggunaan jet ke Turki, selama tiga hari tersebut saya hanya membaca laporan media, jadi laporan media boleh jadi kurang tepat, saya tak kata tak betul, kurang tepat dan juga mungkin tak betul sepenuhnya.

 

“Jadi apabila semalam saya dimaklumkan bahawa YB Rafizi akan mengadakan sidang media hari ini jadi saya mengambil keputusan untuk hadir sendiri, untuk dengar sendiri dan untuk mengambil nota apa yang akan dia katakan supaya saya dapat sediakan jawapan yang secukupnya dan sepatutnya.

 

“Tapi nampaknya kehadiran saya tidak diterima, dia (Rafizi) tidak membenarkan saya naik ke atas, ini tidak melambangkan keterbukaan kebebasan bersuara yang sering dia laungkan termasuk parti dia laungkan,” ujarnya lagi.

 

Rizal sebelum ini tampil menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Rafizi mengenai isu pengunaan jet peribadi oleh isteri perdana menteri sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai jahat dan fitnah kerana cuba memesongkan pandangan rakyat.

 

Berikut adalah jawapan Rizal berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh Rafizi sebelum ini.

 

Perjalanan Isteri Perdana Menteri ke Istanbul tidak dilaporkan dan tidak diketahui, ingin saya jelaskan belum pernah berlaku dalam mana-mana berita melaporkan aturan perjalanan seseorang kenamaan kecuali berita mengenai aturcara lawatan, Rizal menjawabnya dan dibawah disertakan jawapan untuk persoalan Rafizi;

 

 

SOALAN
1. Kenapa Datin Seri Rosmah Mansor tidak menggunakan penerbangan komersil untuk perjalanan ke Istanbul yang sudah tentu jauh lebih murah berbanding menyewa sebuah jet peribadi ACJ319 hanya untuk beliau?

 

JAWAPAN
Kerajaan tidak menyewa pesawat tersebut khusus untuk Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Pesawat ACJ319 No. Pendaftaran A6-CJE adalah pesawat gantian yang disewa oleh Kerajaan Malaysia bagi kegunaan kenamaan-kenamaan Negara termasuk Yang Di Pertuan Agong, Permaisuri Agong dan lain-lain kenamaan. Isteri Perdana Menteri menempuh perjalanan hampir 13 jam ke Istanbul hanya untuk menerima anugerah dan menyampaikan ucapan. Beliau bergegas pulang selepas majlis tersebut kerana perlu menghadiri Mesyuarat Agong Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang akan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Mana mungkin Datin Paduka Seri Rosmah dapat menghadiri semua acara-acara penting sekiranya mengikuti jadual penerbangan pesawat komersil.

 

 

SOALAN
2. Siapa yang membuat tempahan jet peribadi tersebut dan siapa yang membayar kos sewaan tersebut?

 

JAWAPAN
Pesawat tersebut disewa oleh Kerajaan untuk sementara (2 bulan) sebagai gantian kepada pesawat ACJ320 yang kini dalam tempoh penyelengaraan.

 

 

SOALAN
3. Kenapa Datin Seri Rosmah Mansor sebagai seorang awam diberikan pelepasan menggunakan lapangan terbang di Pengkalan Udara Subang yang sepatutnya khusus untuk kegunaan ketenteraan dan bukan penerbangan awam seperti ini?

 

JAWAPAN
Pesawat tersebut adalah pesawat gantian Kerajaan maka atas sebab itu penerbangan ini menggunakan Pengkalan Udara Subang. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor adalah Isteri Perdana Menteri Malaysia dan kedudukan beliau dari segi protokol adalah layak. Kita tidak memerlukan lepasan MCKK untuk bertanya soalan sedemikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!