Tiada Bayaran Bebaskan Tebusan Abu Sayyaf – TPM

KUALA KANGSAR – Timbalan Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa Malaysia membayar wang tebusan bagi pembebasan empat rakyatnya oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

 

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada rundingan berkaitan pembayaran dipersetujui di antara pihak polis kedua-dua negara dengan penculik.

 

“Jika ada tuduhan bayaran tertentu telah dibuat untuk membebaskan kesemua tebusan, ia bukan dalam bidang pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mewakili kerajaan Malaysia,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Himpunan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Kuala Kangsar di Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia (USAS) di sini hari ini.

 

Sementara itu, Ahmad Zahid mengesahkan empat lagi nelayan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia dibebaskan kerajaan negara itu.

 

Menurutnya, mereka dijangka tiba di negara ini bersama dua lagi nelayan dari Sekinchan, Selangor, yang mendapat pengampunan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

 

“Ada empat lagi nelayan dari Johor yang turut dibebaskan. Mereka ini ditahan lebih awal dan akan tiba hari ini juga,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.