Zaid Ibrahim Gesa Orang Melayu Sertai DAP

Kuala Lumpur – Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyarankan masyarakat Melayu khususnya yang ingin menyertai dan bergiat aktif dalam politik agar bersikap lebih berani termasuk membuat keputusan menyertai parti pembangkang seperti DAP.

 

Beliau berkata demikian susulan keputusan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said baru-baru ini yang mengumumkan sertai DAP.

 

Jelas Zaid, tindakan sasterawan negara itu yang mesra dikenali sebagai Pak Samad telah membuktikan bahawa perjuangan beliau adalah untuk melihat negara ini berada dalam keadaan lebih baik.

 

“Sebagai seorang Melayu, keputusannya untuk menyertai parti seperti DAP menunjukkan bahawa keyakinan politiknya adalah waras.

 

“Ia menunjukkan kepada kita bahawa negara ini boleh diselamatkan jika prinsip-prinsip sihat dalam politik (diamalkan) memenangi hati dan minda rakyat,” katanya menerusi catatan terbaharu di blognya, The ZaidGeist, hari ini.

 

Zaid turut menyatakan bahawa parti DAP telah membuktikan bahawa perjuangan mereka dalam bidang politik adalah lebih mulia berbanding sekutunya dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS yang disifatkan sebagai sebuah parti yang mementingkan diri.

 

Katanya, DAP bermurah hati memberikan ahli PAS memegang jawatan meskipun jumlah kerusi yang dipegang PAS adalah tidak seimbang.

 

“Ini adalah berbeza sama sekali dengan PAS, yang secara praktikal tidak memberi apa-apa kepada PKR di Kelantan walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen di seluruh negeri ini dalam dua pilihan raya lalu.

 

“DAP juga telah melakukan banyak bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dimana pergi bagi menunjukkan mereka satu pihak yang prihatin dengan mengenepikan etnik ketika menyalurkan bantuan.

 

“Sekarang adalah masa untuk memecahkan tembok ketakutan dan prasangka dan membina semula satu set nilai-nilai politik sihat.

 

“Mari kita memperlakukan semua rakyat Malaysia sebagai satu bangsa dan berhenti menjadi takut kepada orang Cina dan India,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.