Video: Nasi Goreng Tanpa GST, Ahmad Maslan Tak Kisah Kena ‘Bantai’

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata pihaknya pelik dengan sikap masyarakat di negara ini yang lebih tertarik dengan status ‘Nasi Goreng Tanpa GST’ yang dimuatnaik di laman Twitternya berbanding isu-isu politik.

 

Menurut beliau kebanyakkan isu politik yang diketengahkan kurang mendapat sambutan dan reaksi masyarakat berbanding gambar nasi goreng yang dimasaknya.

 

Menurut Ahmad beliau tidak menyangka status dan gambar nasi goreng yang dimuatnaik di akaun Twitternya mendapat perhatian sehingga menjadi viral di media-media sosial.

 

 

“Orang tanya betulkah, semua barang-barang itu tidak digunakan GST, saya kata betul lah. Sebab beras, gas minyak masak kemudian daging (dan) ayam yang saya potong-potong (kemudian) dimasukkan dalam nasi goreng itu semuanya tidak dikenakan GST termasuklah garam, gula dan telur.

 

“Apabila saya cerita mengenai pembangkang (akan) berpecah, PasMa akan tubuhkan parti baru hanya empat orang yang retweet (status berkenaan). Tapi bila saya sebut pasal masak (nasi goreng) tu, ribuan maklumbalas yang diterima, pelik jugalah” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada lebih 1,500 Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Majlis Penerangan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad.

 

Beliau turut menjelaskan, walaupun ramai yang menkritik berhubung status tersebut namun ada juga yang menyokong tindakannya itu.

 

“Memang saya buat hiasan macam tu, apa boleh buat memang saya suka begitu… saya angkat kuali dan terus hidang bersama hiasan di tepi kuali.. itu memang kaedah saya… lepas tu ada pula yang sokong, dia kata (nasi goreng) saya itu memang style Perancis.

 

“Saya dah memang selalu kena bantai (kritik) jadi saya tak kisah pun kalau orang (terus) bantai (kerana) bila saya sebut seperti itu, positifnya baru masyarakat tahu barangan seperti gas, minyak masak tiada GST.

 

“Semua barangan dan bahan mentah yang digunakan untuk memasak di rumah semuanya kosong (tidak dikenakan) GST” ujar beliau sambil di sambut dengan gelak ketawa oleh mereka yang hadir.

 

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO pada minggu lalu itu berkongsi resipi dan cara memasak nasi goreng serta petua untuk mengelak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

 

Terbaru beliau sekali lagi memuatnaik gambar nasi goreng tanpa GST yang dihias dengan hirisan timun yang tersusun elok di dalam kuali.

 

Tweet mengenai gambar nasi goreng itu kemudian sekali lagi menjadi viral di media sosial.

 

Bagaimanapun kebanyakan pengguna Twitter memberi respon seolah-olah ‘menyindir’ tindakan Ahmad yang berbaju merah bergaya di depan kamera sambil memegang sudip dan telinga kuali kerana tidak semua bahan yang diperlukan untuk memasak nasi goreng tidak dikenakan GST.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.