‘Tun Mahathir Dirasuk’

Kuala Lumpur – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed (Tun M) yang seolah tidak berputus asa menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak langsung tidak mencerminkan sifat berhemah dan kewibawaan negarawan itu.

 

Perkara tersebut diluahkan bekas Menteri Kabinet,Tan Sri Dr Rais Yatim dalam ruangan rencana bertajuk ‘Dalam Benci Ada Sayang’ yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang antara lain menyifatkan perlakuan bekas Presiden UMNO itu seolah telah dirasuk sesuatu.

 

Menurut Rais yang juga Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, perbuatan Tun M mengkritik pentadbiran Najib membabitkan beberapa isu kontroversi termasuk syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) nyata melanggar hak asasi kemanusiaan.

 

“Kes 1MDB kini di tangan Jabatan Audti Negara, entiti yang semestinya dihormati laporannya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

 

“Apakah negarawan seperti Tun M tidak boleh menunggu keputusan siasatan itu?

 

“Walau apapun yang dikatakan oleh pihak-pihak ketiga tentang penyelewengan, salahguna kuasa, korupsi dan sebagainya berkaitan 1MDB, perbuatan menghakim seseorang di khalayak bahawa beliau sudah bersalah justeru diputuskan supaya meletak jawatan adalah bercanggah dengan prinsip bicara dahulu kemudian bertindak,” katanya.

 

Beliau turut menyifatkan Tun M yang dianggap sebagai mentor kepada hampir semua menteri termasuk dirinya adalah sebagai ‘penghentam’ utama kepada Perdana Menteri.

 

“Tidak pernah seseorang Perdana Menteri di tanah air kita diserang hendap oleh media dan di majlis-majlis yang diatur oleh pelbagai pihak seperti yang dilakukan di akhir-akhir ini,” katanya.

 

Malah, Rais turut mengakui bahawa bekas Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman juga terpaksa melepaskan jawatannya susulan surat terbuka Tun M mengenai pentadbirannya tersebar luas pada 1970.

 

“Benar juga bahawa Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan susulan pukulan teruk yang dibagi oleh Tun M.

 

“Kini pukulan itu menggena pada Najib pula,” ujarnya.

 

Rais turut mempersoalkan tindakan Tun M dengan menyatakan bahawa kenapa Tun M tidak terus menempelak Najib di kamar khas dengan disaksikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketiga-tiga Naib Presiden.

 

“(Mereka) boleh berdebat habis-habisan. Selesai itu, boleh beri berjabat tangan dan beri nasihat sebagai seorang bapa kepada anaknya.

 

“Menghukum seseorang sebagai bersalah tanpa proses keadilan amat menyimpang dan salah,” katanya yang menyedari bahawa penulisannya ini akan dikritik dengan pelbagai cara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.