Tahan Kereta Untuk Rebut Teman Wanita

Kota Bahru – Tindakan dua lelaki yang konon-kononnya membantu seorang rakan mereka merebut kembali teman wanitanya dengan menahan kereta dinaiki mangsa mengundang padah apabila dicekup polis, Jumaat lalu.

 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek tersilap sasaran, namun pemeriksaan polis ke atas dua mereka menjumpai selaras senapang angin buatan China di dalam beg galas salah seorang daripadanya.

 

Katanya, kejadian berlaku di Jalan Kubu Kuda, Jalan Sultan Zainab ketika kereta jenis Perodua Viva dinaiki tiga individu, dua lelaki dan seorang perempuan ditahan oleh tiga suspek yang menaiki dua motosikal.

 

“Dua daripadanya membonceng rakan mereka dan seorang lagi menunggang seorang diri bertindak menahan kereta mangsa. Pemandu yang terkejut dan bimbang akan keselamatan diri tiba-tiba bertindak melanggar suspek dan terus memandu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu,” katanya.

 

Susulan laporan dibuat pengadu, pihak polis melancarkan gerakan memburu suspek dan berjaya menahan dua daripada mereka yang berusia 24 dan 30 tahun di Jalan Sultan Ibrahim, di sini, sementara seorang lagi suspek bernama Ery berjaya meloloskan diri.

 

“Hasil siasatan polis mendapati mereka bertidak demikian kerana berebut teman wanita Ery dan Ery dipercayai meminta bantuan dua rakannya itu untuk mendapatkan kembali teman wanitanya, namun mereka tersilap sasaran serta melanggar mangsa yang tidak ada kena mengena,” katanya.

 

Mazlan berkata, mereka yang ditahan dikenakan reman seminggu bagi membantu siasatan. Dalam pada itu, seorang bekas tentera berusia 32 tahun ditahan bersama sepucuk pistol buatan sendiri yang terselit di pinggangnya ketika menunggang motosikal di Kampung Chepa, Kedai Lalat, di sini, jam 4.45 pagi, 13 Jun lalu.

 

“Turut dijumpai di dalam pistol tersebut, sebutir peluru hidup. Pemeriksaan lanjut juga menjumpai tiga pil dadah jenis metamphetamine. Lelaki ini juga adalah seorang banduan yang memiliki rekod lampau mencuri serta menyamar sebagai anggota polis.

 

“Suspek baru dibebaskan dari penjara pada April lalu selepas dihukum penjara enam bulan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan menipu orang ramai dengan meminta bayaran daripada pihak keluarga pesalah dadah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.