‘Rakyat Akan Sokong Najib Bila Isu Selesai’

Kuala Lumpur – Penganalisis politik melihat sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan pulih sekiranya isu-isu semasa yang dibangkitkan diselesaikan.

 

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling bagaimanapun berkata, ‎ia bergantung kepada situasi semasa.

 

“Sekiranya Najib berhati-hati dan tidak memberikan kenyataan yang boleh diprovokasikan oleh pembangkang, saya lihat tidak ada masalah bagi beliau untuk memperoleh sokongan terhadapnya.

 

“Beliau akan peroleh sokongan rakyat setahun dari sekarang sekiranya dia terus fokus kepada pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

 

Tambahnya lagi, Najib juga perlu menghentikan sengketa antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Katanya, ia demi menjaga nama baik parti dan maruah kedua pemimpin itu; selain mengelakkan sokongan rakyat pudar terhadap parti yang dinaungi Najib.

 

“Mereka semua kena tahu bahawa tidak ada gunanya berbalah sesama sendiri. Rakyat sedang melihat semua ini. Sokongan rakyat boleh berubah arah.

 

“Najib sudah menjawab banyak soalan yang dikemukakan kepadanya, secara tidak langsung ini juga akan membantu beliau meraih kembali sokongan rakyat kepadanya,” katanya lagi. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.