Polis Siasat Nazri Aziz Di Bawah Akta Hasutan – KPN

Kuala Lumpur – Polis akan menyiasat Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz di bawah Akta Hasutan 1948 susulan kenyataan yang dibuatnya terhadap Tengku Mahkota Johor (TMJ) baru-baru ini.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Nazri dan mengesahkan pihaknya akan merekodkan kenyataan daripada menteri itu tidak lama lagi, lapor Malaysiakini.

 

Dalam pada itu, 46 NGO kaum India di Johor telah membuat laporan polis terhadap Nazri susulan kenyataannya terhadap TMJ selain mahu menteri berkenaan menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada TMJ.

 

Dalam perkembangan sama, ahli exco kerajaan negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan menasihati Datuk Seri Nazri Abdul Aziz supaya tidak bersikap “kurang ajar” melalui satu kenyataan semalam.

 

“Saya menyarankan agar menteri ini lebih muhasabah diri dan cermin diri kerana jawatan menteri tidak boleh digunakan sebagai alat untuk bersikap kurang ajar.

 

“Rakyat Johor tidak pernah sesekali menderhaka dan kita akan menentang setiap anasir yang boleh merosakkan perpaduan antara rakyat johor,” kata Zulkurnain.

 

Nazri dalam satu kenyataan sebelum ini berkata tindakan anakanda Sultan Johor itu yang dilihat cuba campurtangan dalam politik negara boleh mengakibatkan beliau ‘dibelasah’.

 

 

Sususlan daripada itu pengendali laman Facebook, Johor Southern Tigers kemudiannya memuatnaik rakaman video pendek Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membuat isyarat “marilah”.

 

Melalui rakaman tersebut Tunku Ismail dilihat membuat isyarat memanggil Nazri yang kemudiannya disifatkan oleh pengguna Facebook sebagai simbolik terhadap cabaran tersebut.

 

 

Tunku Ismail pada 5 Jun lalu berkata, orang yang ingin menyembunyikan segala-galanya tentu sekali tidak akan muncul dipercayai merujuk kepada tindakan Perdana Menteri untuk tidak hadir dalam sesi dialog dengan NGO di Kuala Lumpur atas alasan keselamatan.

 

Kenyataan itu mengejutkan banyak pihak dan dikongsi meluas di Internet, terutamanya di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.