‘Penunggu’ Gunung Kinabalu Marah Kerana Langgar Pantang

Ternyata, gempa pada skala 5.9 skala richter yang mengegarkan kebanyakkan tempat di Sabah khususnya daerah Ranau yang terjejas teruk baru-baru ini membuktikan pada kita, selain daripada kajian saintifik, amalan adat resam dan kepercayaan masyarakat setempat yang diwarisi sejak berkurun juga perlu dipegang teguh.

 

Apa yang mencuri tumpuan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, kejadian gempa melanda kawasan terbabit turut dikaitkan dengan perbuatan tidak senonoh sekumpulan pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu yang dikatakan telah mencemar kesucian tempat tersebut.

 

Insiden itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan di Kundasang kerana pelancong berkenaan tidak menghormati adat resam tempatan sehingga menggegarkan Gunung Kinabalu dan mengorbankan sejumlah pelancong dan malim gunung.

 

Ada adat resam dan kajian saintifik, segelintir masyarakat dunia berpandangan pantang larang yang mempunyai hubung kait dengan kejadian atau fenemona alam seperti gempa bumi adalah sebagai sesuatu yang dianggap karut.

 

 

Sejauhmana Kepercayaan Masyarakat Terhadap Adat Resam?

 

Mengulas adat resam dan pantang larang yang dikaitkan kejadian gempa di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, Suhaji yang juga merupakan anak jati Kundasang menyatakan bahawa kepercayaan tersebut telah diamalkan sejak 70-an terutamanya dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun.

 

Katanya, masyarakat moden khususnya yang tinggal di bandar mungkin beranggapan bahawa kepercayaan tersebut adalah tidak benar atau mitos semata-mata.

 

Namun berbeza dengan masyarakat setempat, mereka masih berpegang teguh serta merasakan adat resam berkaitan perlu dikekalkan dan diwarisi kepada generasi muda.

 

“Berdasarkan pengalaman dan ajaran datuk nenek, sebelum menaiki Gunung Kinabalu kami akan melakukan penghormatan kepada ‘penghuni’ sebagai meminta kebenaran untuk berkunjung ke tempat tersebut.

 

“Amalan tersebut dilakukan oleh orang dahulu sebagai menghormati ‘mereka’ yang dipercayai wujud dan juga sebagai jaminan keselamatan kepada pendaki,” katanya.

 

Ditanya mengenai sejauh mana perbuatan tidak senonoh pelancong asing berbogel itu menjadi punca kepada kemarahan ‘penghuni’ Gunung Kinabalu, Suhaji berkata;

 

“Secara peribadi dan rata-rata masyarakat sependapat bahawa perbuatan pelancong asing itu suatu yang tidak menghormati adat resam penduduk di sini.

 

“Namun, kejadian gempa bumi itu bukan sepenuhnya berpunca ekoran perbuatan mereka (pelancong asing) kerana perbuatan tidak senonoh yang dilakukan pendaki sudah lama berlaku sejak 20 atau 30 tahun yang lalu termasuk maksiat.

 

“Ini mungkin balasan dan peringatan yang mana perlu dijadikan sebagai pengajaran,” katanya yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai malim Gunung Kinabalu.

 

 

Pantang Larang & ‘Sogit’ Gunung Kinabalu

 

Menurut Suhaji, terdapat banyak pantang larang sepanjang perjalanan ke gunung yang harus dipatuhi antaranya tidak dibenarkan membuang air besar atau kecil sebarangan, tidak dibenarkan membuat bising, tidak boleh bercakap besar, memetik tumbuhan atau mengambil batu daripada persekitaran gunung serta tidak boleh berkelakuan tidak senonoh.

 

“Berdasarkan pengalaman juga, setiap kali pendaki sampai di puncak Gunung Kinabalu, pelbagai cara akan dilakukan sebagai menunjukkan kepuasan dan meluahkan rasa gembira antaranya termasuklah berteriak.

 

“Sebagai malim, kita sudah memaklumkan (berteriak) tidak digalakkan untuk dilakukan, sehinggakan pernah terjadi dimana cuaca di puncak tiba-tiba berubah menjadi gelap dan hujan,” jelasnya.

 

Tambahnya, menurut cerita nenek moyang dan adat resam tempatan, mereka yang melanggar pantang larang perlu membayar ‘sogit’ dengan menyembelih tujuh ekor ayam putih atau 10 ekor kerbau sebagai denda mencemar kesucian Gunung Kinabalu.

 

“Mengikut kepercayaan, tujuh ekor ayam putih sudah cukup sebagai tanda untuk kesejahteraan hidup masyarakat, mengelakkan gangguan dan juga permohonan maaf.

 

“Namun, bagi 20 ekor kerbau itu adalah satu ‘bayaran’ yang sangat banyak ekoran kesalahan yang disifatkan sebagai besar,” katanya yang juga melahirkan kebimbangan terhadap masa depan 300 malim yang berkemungkinan hilang punca pendapatan susulan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu.

3 thoughts on “‘Penunggu’ Gunung Kinabalu Marah Kerana Langgar Pantang

  • April 18, 2016 at 1:54 pm
    Permalink

    bangang betullah orang asing tu

    Reply
  • September 12, 2016 at 11:48 am
    Permalink

    Sot betulah orang asing itu tdak menghormati adat resam nenek moyang kita

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.