Pengguna FB Kecam Tindakan Mahathir Salahkan Almarhum Sultan Johor

KUALA LUMPUR – Susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkan Almarhum Sultan Johor dalam isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara tahun 1988, telah mengundang banyak kecaman ramai yang mempertikaikan mantan Perdana Menteri itu.

 

Sabtu lepas Dr Mahathir mendakwa pemecatan Tun Salleh Abbas dari jawatan Ketua Hakim Negara ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri disebabkan kehendak Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu menjawat kedudukan sebagai Yang Di Pertuan Agong.

 

Tinjauan SuaraTV mendapati kebanyakan pembaca blog dan portal berita serta pengguna Facebook tidak hanya mengecam Mahathir malah ramai yang menyelar kenyataan negarawan itu yang disifatkan sebagai mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab.

 

“Pendedahan Dr Mahathir ini tak berasas dan bersifat pentingkan diri sendiri.

 

“Sengaja salahkan (Yang Di Pertuan) Agong untuk melihat diri beliau tidak bersalah,” tulis Abu Baqlabah di rungan komen Facebook sebuah portal berita.

 

Di ruangan komen yang sama pembaca yang lain mempersoalkan siapa lagi yang akan menjadi mangsa Mahathir selepas ‘membelasah’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan bekas Yang Dipertuan Agong.

 

“Lepas Najib, Tun serang bekas Agong pula ke? Lepas ni Tun nak serang siapa (pula),” soal Farhan Daniel.

 

Nada yang hampir sama dikongsi seorang individu lain yang menggunakan nama pena Mat Bukit Jemat yang turut mengecam tindakan Mahathir yang sering meletakkan kesalahannya di bahu orang lain.

 

“Begitulah perangai Mahathir asyik salahkan orang lain.

 

“Salahkan Anwar, salahkan Musa Hitam, salahkan Pak Lah, salahkan (Yang Di Pertuan) Agong, salahkan Sultan, yang tak pernah salah dia seorang saja,” tulis individu tersebut di laman sosialnya.

 

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Tunku Abdul Majid yang merupakan anakanda Almarhum Sultan Iskandar turut menafikan dakwaan Dr Mahathir yang menyalahkan ayahandanya dalam isu pemecatan tersebut.

 

“Mahathir menggunakan ayahanda saya untuk menyingkirkan Tun Salleh, beliau seorang individu yang baik dan (almarhum) ayahanda saya mengiktirafnya dan telah berbaik dengannya.

 

“Mahathir tolong jangan letak kesalahan (tersebut) pada orang yang tidak boleh mempertahankan dirinya” bidas baginda melalui catatan Facebooknya kelmarin. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.