Pegawai Polis Patah Tangan Dipukul Warga Thailand

Bukit Mertajam – Polis menahan seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang pegawai polis cedera dan patah tangan kiri selepas diserang suspek di Kampung Pertama, di sini semalam.

 

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, pegawai polis berusia 27 tahun dan sedang bercuti di sini, berjalan ke arah keretanya selepas makan di sebuah restoran di kawasan berkenaan.

 

“Mangsa yang bertugas di Kuala Lumpur itu tiba-tiba didatangi seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang kemudiannya menyerang pegawai polis itu dengan mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging.

 

“Pegawai polis itu yang terkejut dengan kejadian itu bertindak melarikan diri sebelum terjatuh dan mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tangan kirinya,” katanya di sini.

 

Katanya, sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan berjaya menemui suspek yang dalam keadaan mencurigakan sedang membuka sebuah pintu kedai gunting rambut di kawasan berkenaan.

 

Jurucakap itu berkata, suspek dipercayai cuba bersembunyi di dalam kedai berkenaan, bagaimanapun tindakan pantas polis bersama orang ramai di situ telah berjaya menahan lelaki berkenaan dan merampas sebilah pisau pemotong daging.

 

Katanya mangsa yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

 

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya dan suspek juga didapati tidak mempunyai pasport atau sebarang dokumen perjalanan diri,” katanya.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor (gambar atas) ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan berkata motif kejadian masih dalam siasatan.

 

Katanya, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut 506 Kanun Keseksaan dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.