PasMa Jadi Parti Untuk Orang Kecewa, Kata Penganalisis

SHAH ALAM – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) akan jadi parti untuk orang kecewa sahaja jika tidak mempunyai matlamat jelas serta pemimpin yang disenangi rakyat.

 

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, Pasma tidak mampu menyaingi Pas walaupun ahlinya serpihan Pas.

 

“Memang nampak Pasma begitu bersemangat wujudkan parti baharu kerana perasaan kecewa dengan kepimpinan parti sedia ada. Mereka rasakan melalui parti baharu itu sahaja hasrat mereka tercapai.

 

“Mereka berani bertindak demikian kerana beranggapan yang mereka ada sokongan dan pengikut sebab itu sanggup keluar daripada Pas. Jadi mereka yang kecewa dengan Pas bersama Pasma,” katanya.

 

Menurutnya, jika dilihat dari sudut itu, Pas tidak akan tergugat dengan kewujudan parti baharu itu nanti.

 

Bagaimanapun, Pasma hanya akan menjadi pilihan pengikut Pas jika ada hala tuju jelas memperjuangkan Islam.

 

“Mungkin cara mereka lebih liberal atau moden, tetapi pendirian itu perlu jelas. Perlu dilihat siapa prospek Pasma, jika mereka kata mahu bergabung dengan NGO, siapa NGO di belakang mereka, adakah yang berfikiran liberal atau tegar perjuangan Islam?

 

“Penyokong akan analisis perkara itu melalui matlamat parti atas dasar apa ditubuhkan dan siapa pemimpin parti itu,” katanya.

 

Mohd Fuad berkata, untuk menubuhkan sesebuah parti mungkin mudah, namun relevan Pasma sukar diramal.

 

Ditanya adakah Pasma akan menjadi pengganti Pas dalam PR, beliau tidak menafikan perkara itu kerana melihat kecenderungan pemimpin Pasma terhadap DAP.

 

“Kewujudan Pasma ini dilihat alternatif PR terus hidup s kerana jelas dilihat kepimpinan Pasma ini pro DAP.

 

“Namun mereka perlu ingat sokongan bukan di kalangan ahli sahaja tetapi rakyat keseluruhannya, jadi bolehkah Pasma gugat populariti Pas atau Pasma hanya jadi parti desperado,” katanya.

 

Dalam isu kerjasama, katanya DAP mungkin akan berhati-hati dengan siapa untuk bergabung bagi memastikan agenda ke Putrajaya tercapai.

 

“Mereka akan lihat mampukah Pasma diberi kerusi dan memenangi kerusi itu jika tidak mereka akan sia-siakan peluang untuk melangkah ke Putrajaya,” katanya.

 

Kelmarin Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya merancang menubuhkan satu parti baharu selepas Aidilfitri ini bagi menghidupkan semula PR.

 

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, dalam tempoh satu atau dua tahun ini, Pasma mungkin bukan cabaran besar pada mana-mana parti termasuk Pas.

 

“Nak tarik keyakinan rakyat tidak mudah, perlu ada asas kukuh dan identiti kepimpinan yang kuat,” katanya.

 

Beliau tidak menolak Pasma akan menjadi parti alternatif pengundi atas pagar yang tidak yakin dengan kepimpinan BN dan Pas. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.