Nasharudin Selesa Sebagai Ahli Biasa PAS

Bangi – Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa akui selesa dengan kedudukannya sekarang sebagai ahli biasa tanpa sebarang jawatan dalam parti.

 

Menurutnya, beliau akan membantu Pas setakat yang mampu tanpa aktif kembali sebagai pemimpin.

 

“Saya masih ahli Pas. Pada ketika ini, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang saya libatkan diri ini sudah cukup untuk menyibukkan saya. Saya lebih senang (selesa) dengan kerja yang saya buat ini. Tugas dan tanggungjawabnya banyak.

 

“Saya boleh menyumbang sebagai ahli biasa…(bukan sebagai pemimpin?) Bukan. Ramai orang yang lebih layak. Jadi, mana yang saya boleh bantu Pas, saya bantulah tapi untuk aktif sebagai pemimpin dan sebagai petugas utama parti, itu mungkin tidak,” katanya ketika ditemui di Kenduri Perpaduan Ummah Komuniti, Seksyen 5, Bandar Bukit Mahkota, di sini hari ini.

 

Mengulas soal barisan kepimpinan Pas yang baharu dipilih pada muktamar lalu, Nasharuddin menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat tim yang setia kepadanya.

 

“Kalau kita lihat pada barisan pimpinan yang dipilih dalam muktamar lepas, ia juga mempunyai gabungan… Ada peguam, doktor, ada yang berpengalaman dalam pentadbiran. Jadi sebenarnya kombinasi yang baik cuma kebetulan jumlah ulama itu lebih baik.

 

“Tapi apa yang penting bagi saya, ini adalah sesuatu yang mungkin baharu kepada Tuan Guru Presiden kerana kali ini beliau dapat satu tim yang betul-betul setia kepada dia. Kerana tim yang sebelum ini mungkin ada beberapa isu. Dengan tim baharu ini, memudahkan Ustaz Hadi bergerak ke depan dan memudahkan Pas untuk beraksi dalam konteks arena politik Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!