Merasai Semula Suasana Dalam Kapal Titanic

Tragedi kapal persiaran mewah Titanic yang karam ketika pelayaran sulungnya selepas melanggar bongkah ais di Lautan Atlantik sudah lebih 100 tahun berlalu. Namun, tragedi pada malam 14 April 1912 yang mengorbankan lebih 1,500 penumpang itu masih terus dikenang di seluruh dunia.

 

Kebanyakan mangsa mati akibat terperangkap dalam kapal berkenaan dan ramai juga yang maut akibat lemas serta kesejukan.

 

Sejak itu muncul beberapa novel termasuk sebuah filem yang di­adaptasikan daripada pengalaman mangsa yang terselamat daripada tragedi maritim paling buruk berkenaan.

 

Novel dan sebuah filem Titanic yang ditayangkan pada 1997 adalah satu-satunya peluang untuk merasai sendiri perasaan cemas dan ketakutan mangsa ketika kapal itu tenggelam.

 

Bagaimanapun, sebuah syarikat tenaga di China melangkah setapak lagi apabila membina replika kapal Titanic dan cuba menghidupkan kembali tragedi berkenaan. Lebih menarik lagi, pelawat juga berpeluang melalui pengalaman ketika kapal itu terlanggar bongkah ais dengan bantuan simulasi canggih dan penggunaan cahaya serta kesan bunyi khas.

 

Syarikat Kumpulan Pelaburan Tenaga Qixing mendedahkan pelaburan bernilai 1 bilion yuan (RM600.6 juta) untuk membina replika Titanic itu pada Januari, tahun lalu. Ia baru-baru ini mengumumkan sebanyak 5,000 tiket terhad bagi merasai pengalaman menaiki replika kapal Titanic itu mula dijual pada 15 Jun ini.

 

Replika kapal itu diletakkan di Sungai Daying Qi di wilayah Sichuan dan dijangka dibuka kepada pelawat pada Oktober 2017. Kapal itu dibina sehampir yang boleh dengan Titanic, malah semua ukiran dan hiasan kecil termasuk suis lampu dipastikan serupa dengan kapal yang asal.

 

Setiap penumpang perlu membayar 3,000 yuan (RM1,801) semalam untuk tidur di kabin dan bilik yang lebih mahal berharga sekitar 100,000 yuan (RM60,058).

 

Kapal berkenaan juga mempunyai dewan tarian, kolam renang dan pusat hiburan bagi membawa tetamu kembali ke suasana tahun 1912. Malah menu hidangan juga sama seperti yang terdapat di restoran kapal Titanic yang asal.

 

Pengerusi Kumpulan Pelaburan Tenaga Qixing, Su Shaojun berkata, Titanic adalah kapal yang hebat dan pihaknya mahu menghidupkan ia kembali.

 

“Pembinaan kapal ini bukan sahaja sebagai penghormatan pada Titanic tetapi menceritakan kembali legenda ini kepada orang ramai.

 

“Penumpang akan mengetahui ketika Titanic karam, ia menyebarkan semangat cinta dan juga mencipta satu legenda,” katanya.

 

Pengurus besar kumpulan itu, Huang Li pula menjelaskan, kapal Titanic yang baru itu memberikan pengalaman yang tidak pernah diimpikan pelanggan sebelum ini.

 

“Ini adalah perjalanan terhebat sepanjang hayat dan memberikan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan,” jelasnya.

 

Sebanyak 20,000 lukisan binaan dibuat bagi memastikan setiap perincian kapal replika Titanic itu tepat. Syarikat itu turut bekerja sama dengan penerbit filem Titanic untuk mendapatkan pelan asal kapal berkenaan.

 

Aktor Bernard Hill yang melakonkan watak kapten kapal Titanic, Edward Smith dalam filem popular itu turut hadir pada majlis pelancaran kapal berkenaan.

 

Kapal itu berukuran 268.8 meter panjang dan 28 meter lebar, sama seperti kapal Titanic yang asal. Dianggarkan 50,000 tan besi diguna untuk membina kapal replika itu, lebih banyak daripada untuk membina sebuah kapal pengangkut pesawat.

 

Kapal replika itu boleh menampung 1,500 pelawat sehari dan wang yang dikumpul daripada jualan tiket dimasukkan ke dana Titanic. Dana Titanic itu baru ditubuhkan dan bertujuan membantu mangsa nahas maritim di seluruh dunia.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.