Mahathir Harus Dipersalahkan Sekiranya UMNO Lenyap

Kuala Lumpur – Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh yang perlu dipersalahkan andainya benar ‘UMNO akan lenyap’ jika pemimpin yang ada dalam parti itu hari ini tidak melakukan perubahan dari segi kepimpinan seperti yang beliau perkatakan.

 

Demikian pandangan Presiden parsatuan Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

 

Menjelaskan maksud beliau, Abd Aziz berkata selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi presiden UMNO dan Perdana Menteri, beliau seharusnya berpeluang seluas-luasnya membuat acuan sebaik mungkin dalam mendidik dan membentuk barisan pelapisnya untuk mengisi proses peralihan pemimpin parti serta negara.

 

Peluang seperti itu tidak wujud ketika tempoh peralihan kuasa pemimpin-pemimpin negara selepas era beliau meletak jawatan.

 

“Kita sendiri tahu kepimpinan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) hanya sepenggal dan hari ini kepimpinan Najib pula dikatakan gagal memimpin negara.

 

“Jika beliau menuding jari kegagalan pemimpin masa kini maka kegagalan itu sebenarnya terletak kepada pemimpin terdahulu ketika beliau menjadi Perdana Menteri kerana tidak menyediakan acuan sebaik mungkin ketika peralihan (kuasa) itu,” tegas beliau.

 

Mantan Perdana Menteri itu semalam menyatakan ‘UMNO akan lenyap sekiranya senario yang membelenggu parti dan ahlinya gagal diurus dengan baik’ ketika berucap pada program ‘My Most Dangerous Idea’ di Solaris Dutamas.

 

Beliau juga tidak terkejut jika dakwaan Dr Mahathir bahawa sokongan rakyat terhadap UMNO tidak seperti dahulu.

 

“Saya tidak hairan jika sokongan UMNO merosot kerana beliau sendiri hari ini sebenarnya yang sedang mengancam UMNO.

 

“Jika benar Tun Mahathir sayangkan UMNO beliau kena buat tindakan dalam suasana ‘kekeluargaan’ agar tidak terdedah dan membenarkan sebahagiaan ahli parti dan pihak lawan menyokong tindak tanduk dilakukan beliau untuk menyerang kerajaan dari dalam.

 

“Yang merosakan keharmonian ahli UMNO adalah Tun Mahathir. Beliau dari awal sepatutnya kena pisahkan peranan seorang negarawan dengan ideologi pakatan pembangkang.

 

“Jangan secara terbuka menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pemimpin negara,” tegas beliau kepada The Rakyat Post. – TRP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.