Letak Jawatan: “Itu Hak Mazlan Aliman” – Nasruddin Hassan

Kuala Lumpur  – Nasruddin Hassan Tantawi menghormati keputusan rakan sejawatan, Mazlan Aliman yang membuat keputusan menarik diri daripada saf AJK PAS Pusat serta-merta hari ini.

 

Ujarnya, Mazlan berhak membuat keputusan sedemikian meskipun merasakan Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK) itu sepatutnya menerima amanah yang diberikan perwakilan PAS, minggu lalu.

 

“Saya hormati keputusan beliau dan itu adalah hak beliau walaupun saya secara peribadi menganggap sewajarnya Saudara Mazlan menerima amanah dan kepercayaan yang diberi oleh perwakilan kepada beliau.

 

“Saya doakan agar beliau terus istiqamah dengan perjuangan Islam ini,” ujarnya.

 

Perwakilan PAS yang bersidang dalam muktamar tahunannya kali ke-61 di Stadium Tertutup Hulu Selangor, minggu lalu menzahirkan sokongan kepada Mazlan dengan memilihnya untuk terus membarisi saf AJK PAS Pusat bagi sesi 2015-2017.

 

Bagaimanapun, beliau memilih untuk melepaskan jawatan itu dan memberi alasan mahu bergerak secara aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ANAK yang ditubuhkannya pada 2007 itu.

 

Malah ketika berucap didepan perwakilan PAS pada muktamar itu, Mazlan sudahpun memberi signal bahawa beliau sedang menimbang untuk melepaskan jawatan yang disandangnya, untuk fokus kepada pergerakan ANAK.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.