Kapal Tangki Orkim Harmony Dipercayai Diserang, Dilarikan Lanun

KUALA LUMPUR – Kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu berkemungkinan besar telah di­serang dan dilarikan oleh lanun di kawasan perairan Singapura di Laut China Selatan.

 

Perkara itu berikutan pihak berkuasa tidak menerima sebarang komunikasi daripada anak kapal terbabit serta tiada sebarang penemuan penting di kawasan perairan berkenaan.

 

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersedih dengan kejadian itu.

 

“Saya sedih dengan berita kehilangan kapal tangki milik rakyat Malaysia. Saya berdoa keselamatan kesemua 22 orang kru. Kerajaan akan menggerakkan kesemua bantuan,” katanya di laman Twitter miliknya.

 

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Ahmad Fuzi Ab. Kahar berkata, kebarangkalian rampasan dilakukan oleh lanun memang tinggi memandangkan tiada langsung perhubungan yang diterima daripada kapal yang membawa seramai 22 kru tersebut.

 

“Kita telah melakukan operasi mencari semalam tetapi tidak me­nemukan tanda-tanda jika kapal tersebut rosak atau hanyut di te­ngah lautan

 

“Kita mengesyaki lanun terlibat tetapi bagi kita masa untuk mengesahkan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Ahmad Fuzi turut menyatakan, pihaknya masih lagi meneruskan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) MT Orkim Harmony sehingga ke saat ini.

 

“Kita telah menambah aset untuk melakukan proses pencari­an dan setakat ini, kita masih tidak menemukan hasilnya,” ujarnya.

 

Semalam Utusan Malaysia mendedahkan, kapal MT Orkim Harmony yang membawa muatan 5,879 tan metrik minyak petrol RON 95 dari Pelabuhan Klang menuju ke Kuantan bersama 16 anak kapal tempatan, lima warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

 

Berdasarkan laman web Marine Traffic, kapal dagang terbabit terputus hubungan dengan syarikatnya kira-kira pukul 6.05 petang.

 

Sementara itu, menurut satu sumber, laporan awal kehilangan kapal MT Orkim Harmony dilaporkan lewat dihantar oleh syarikat pengendali kepada pihak berkuasa.

 

“Kapal terbabit hilang pada pukul 6.05 petang pada 11 Jun lalu tetapi hanya dimaklumkan kepada Maritim Malaysia kira-kira pukul 7.30 pagi keesokan harinya,” kata sumber terbabit. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.