Video: DAP Akan Ambil Tindakan Pada PAS – Kit Siang

Kuala Lumpur – DAP akan mengambil tindakan terhadap PAS, yang meluluskan ‘usul putus hubungan’ dengan partinya pada muktamar tahunannya minggu lalu.

 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut apakah tindakan yang bakal diambil.

 

 

“Sangat jelas mereka (PAS) sudah menggunakan Pakatan Rakyat dengan keputusan muktamar dan perlulah ambil tindakan berikutnya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen tadi.

 

Kit Siang sebelum ini menganggap Pakatan Rakyat sudah tiada lagi berikutan usul yang diluluskan muktamar PAS, 6 Jun lalu.

 

Beliau juga berkata tiada keperluan untuk PAS membawa usul itu ke Majlis Syura Ulama kerana ia sudah berkuatkuasa serta-merta.

 

Hujahnya, muktamar adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam PAS dan sepatutnya usul itu sudah muktamad.

 

Kit Siang tidak pula mengulas penegasan AJK PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi semalam bahawa usul itu tetap akan dibawa ke Majlis Syura Ulama kerana badan itu yang bertanggungjawab mengeluarkan hukum PAS ‘harus’ menyertai DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat.

 

Atas sebab itulah, usul itu akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulama untuk sekali lagi menetapkan hukum samada perlu diteruskan atau tidak hubungan dengan DAP.

 

Kit Siang dalam perkembangan lain dilihat menjarakkan diri daripada mengulas hasrat Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang mahu menubuhkan parti politik baru untuk menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat baru.

 

“Errr..saya rasa perkara ini (PasMa mahu tubuh parti baru)…saya tidak mahu komen,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.