‘Anda Seorang Menteri, Bukan Tuhan Dari Syurga’ – TMJ

Kuala Lumpur – Selepas video senyap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah ‘membalas’ teguran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menjadi perhatian umum baru-baru ini, baginda hari ini tampil dengan Mesej Untuk Rakyat Malaysia.

 

Menurutnya, baginda hanya memberikan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah tidak menyalahkan rakyat sekiranya hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan.

 

“Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?

 

“Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat.

 

“Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia.

 

“Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang,” tulis TMJ dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.

 

Tambahnya, baginda membayangkan masa depan apabila setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing.

 

Namun, TMJ menyatakan ia sebaliknya keadaan di Malaysia pada hari ini yang berbeza apabila menteri-menteri disifatkan sebagai pantang ditegur.

 

“Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar, daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.

 

“Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada Allah, Sultan saya, dan rakyat Johor.

 

“Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka. Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

 

TMJ mengulangi pendirian bahawa tujuan baginda menyuarakan teguran adalah semata-mata demi kebaikan rakyat dan bukan bertujuan untuk mengarahkan mana-mana pihak berundur atau menumbangkan kerajaan.

 

“Saya tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, hanya sekadar memberi ingatan kepada ahli politik berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka.

 

“Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda,” ujarnya.

 

Terdahulu, Nazri dilihat dengan tegas mengarahkan TMJ supaya menjauhkan diri daripada politik ekoran kenyataan baginda mengenai sesi dialog #Nothing2Hide baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.