‘Ahli Umno Perlu Bantu Najib’

Shah Alam – Kesemua ahli Umno hingga ke akar umbi perlu membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meraih kembali sokongan pengundi.

 

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, usaha tersebut perlu dilakukan oleh semua pihak bagi mengekalkan kemenangan majoriti Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 

Namun katanya, untuk meraih sokongan masyarakat, Najib terlebih dahulu perlu meyakinkan ahli-ahli Umno.

 

“Krisis yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib banyak memberi kesan ke atas sokongan rakyat terhadap parti.

 

“Saya rasa apa yang perlu dilakukan oleh beliau adalah dengan beri kefahaman dan penjelasan sebenar terhadap ahli-ahli Umno terlebih dahulu. Mereka perlu tahu masalah sebenar,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

 

Mengulas lanjut, katanya lagi, ahli-ahli Umno juga perlu meneliti hujah-hujah berkaitan isu semasa yang dilontar perdana menteri sebelum membuat kesimpulan mengenai apa yang berlaku.

 

“Beri peluang kepada beliau untuk jelaskan apa yang berlaku. Seperti yang kita lihat, sedikit demi sedikit, beliau kini menjelaskan situasi sebenar terhadap permasalahan yang berlaku.

 

“Saya yakin lambat laun masyarakat akan diberi kefahaman mendalam terhadap setiap isu yang timbul,” katanya lagi.‎ – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.