Ahli PAS Yang Tubuh Atau Sertai Parti Baru, Gugur Keahliannya

Kuala Lumupr – Mana-mana ahli PAS yang menubuhkan atau menyertai parti baru akan gugur keahliannya serta merta.

 

Setiausaha Agung PAS yang baru, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan itu jelas terkandung dalam perlembagaan parti itu.

 

“Peringatan saya kepada ahli-ahli PAS apabila dia menubuhkan atau menyertai parti baru, keahliannya akan gugur…itu pun ada disebut dalam parti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

 

Beliau mengulas hasrat Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi yang menyatakan akan menubuhkan satu parti baru untuk menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat baru.

 

PasMa bagaimanapun akan kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan terus menyokong kerjasama dalam Pakatan Rakyat, dakwa Phahrolrazi.

 

Susulan daripada itu, Takiyuddin menegaskan sehingga kini tiada lagi tindakan diambil terhadap mereka yang mahu menyertai parti baru yang akan ditubuhkan oleh PasMa.

 

“Setakat ini tidak ada apa-apa tindakan lagi, kita tidak boleh ambil tindakan atas apa yang dia hendak buat itu,” katanya.

 

Sehubungan dengan itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu meminta supaya ahli-ahli PAS meneliti lebih lanjut perlembagaan PAS sebelum menyertai mana-mana parti baru.

 

“Saya sarankan kepada ahli PAS supaya teliti Perlembagaan parti, ” katanya.

 

Usaha untuk menubuhkan parti baru itu rententan Phahrolrazi menyifatkan PR sudah terkubur, oleh itu satu parti baru perlu ditubuhkan bagi menghidupkan semula PR.

 

Pahrolrazi berkata parti itu akan diumumkan selepas hari raya Aidilfitri ini selepas satu jawatankuasa penaja mengadakan pertemuan dan perbincangan sepanjang bulan puasa ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.