2 Rakyat Korea Utara Dipenjara Cuba Seludup Senjata Api

Panama City – Mahkamah di Panama menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas dua warga Korea Utara atas dakwaan cuba menyeludup senjata api dari Cuba menggunakan Selat Panama sekali gus mencetuskan kebimbangan di mata dunia, kata pendakwa raya.

 

Sabitan mereka agak mengejutkan selepas mahkamah rendah melepaskan tertuduh selepas kapal kargo Korea Utara ditemui membawa senjata api Cuba termasuk sistem peluru berpandu dan pelancar roket ketika ia berlabuh di Selat Panama pada Julai 2013.

 

“Mahkamah Tinggi Panama mengetepikan keputusan mahkamah terdahulu dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas kapten dan pembantu kapten,” kata pendakwa raya, Julio Berrios.

 

Kapten Ri Yong-Il dan pegawai pertamanya, Hong Yong-Hyon didapati bersalah atas tuduhan menyeludup termasuk tidak mengisytiharkan dua pesawat MiG-21, sistem pertahanan udara dan peluru berpandu.

 

Kesemua kargo berkenaan ditemui dalam kapal Chong Chon Gang, yang disembunyi di bawah 200,000 guni gula dan dialamatkan ke Korea Utara.

 

Sementara itu, lebih 30 anak kapal Chong Chon Gang sudah dibebaskan lebih awal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.