Gaji Minimum RM1,100 Jika PR Memerintah

SHAH ALAM –  Pakatan Rakyat sedia meluluskan permohonan pelaksanaan gaji minimum RM1,100 jika PR diberi peluang untuk memerintah pentadbiran kerajaan di negara ini.
 
Menurut Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, cadangan DAP yang menggesa kerajaan untuk meluluskan perlaksanaan gaji minimum sehingga RM1,100 dianggap relevan atas dasar kekangan kos sara hidup dan keperluan yang semakin menghimpit rakyat.
 
“Berdasarkan kira-kira yang dilakukan oleh Bank Negara, pihak Bank Negara telah meluluskan peruntukan bagi gaji minimum  sehingga RM1,200 bagi setiap individu yang bekerja di negara ini.
 
“Kerajaan mempunyai belanjawan sehingga RM220 bilion setahun, jadi tidak salah sekiranya kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2 bilion untuk gaji minimum RM1,100 kepada pekerja di negara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.
 
Beliau yang juga Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menyifatkan tindakan kerajaan yang hanya berdiam diri dan menyerahkan kesemua aspek perlaksanaan gaji minimum ke atas majikan dan syarikat sebagai satu langkah yang tidak bertanggungjawab.
 
“Kerajaan jangan bersikap lepas tangan, harus bela nasib rakyat dan bantu ringankan beban rakyat, bukan hanya tahu kutip cukai sahaja,” katanya lagi.
 
Sehubungan dengan itu beliau menyokong penuh cadangan perlaksanaan gaji minimum RM1,100 dan bersetuju untuk mendesak kerajaan bagi meluluskan perlaksanaan tersebut secepat mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.