Sambung rel ECRL ke sempadan Sungai Golok, cadang Duta Thailand

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas mencadangkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dilanjutkan ke sempadan Sungai Golok bagi meningkatkan keterhubungan kedua-dua negara.

Beliau berkata, keterhubungan di sempadan itu penting bagi mempertingkatkan perdagangan dan logistik kedua-dua negara.

“Kami mempunyai stesen kereta api di Sungai Golok yang kini perlu diterokai cara menghidupkannya semula, selain memanfaatkannya supaya ECRL dapat dilanjutkan dan disambungkan ke rangkaian rel di pihak Thailand.

“Dari situ, ia boleh disambungkan ke Hatyai, iaitu bandar sempadan berjiran dengan Padang Besar di pihak Malaysia yang boleh memudahkan integrasi logistik lebih baik, selain meningkatkan keterhubungan rel serantau,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Menurutnya, penyambungan sistem rel merentasi rantau ini yang menghubungkan Singapura, Malaysia, Laos dan China dengan potensi perluasan selanjutnya akan mengukuhkan hubungan serantau.

Beliau berkata, projek Pan-Asia Railway Network merupakan inisiatif infrastruktur utama menghubungkan China, Singapura dan semua negara di tanah besar Asia Tenggara.

Malaysia giat membangunkan segmennya dalam rangkaian itu bagi mewujudkan landasan berkembar berterusan dari Johor Bahru, Johor ke Padang Besar, Perlis.

Phumas berkata, penyambungan sedemikian akan menggalakkan perdagangan, meningkatkan mobiliti dan memberikan manfaat ekonomi besar kepada kedua-dua negara.

“Keterhubungan rel lebih baik akan menyediakan alternatif pengangkutan kargo lebih mampu milik dan cekap berbanding pilihan udara dan jalan raya,” katanya.

Selain keterhubungan rel, katanya, terdapat peluang kerjasama Malaysia dan Thailand dalam industri halal serta rantaian bekalan berkaitan.

“Thailand boleh membekalkan bahan-bahan dan bahan mentah yang mungkin kurang di Malaysia, manakala Malaysia boleh memanfaatkan kepakarannya dalam pensijilan halal bagi mengukuh serta memperluaskan rantaian bekalan halal.

“Kerjasama ini boleh memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan membuka peluang besar di pasaran, khususnya di negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC),” katanya.

Tegasnya, hal ini akan menjadi topik utama pada sidang kemuncak akan datang antara Asean, GCC serta China yang dianggap penting kerana GCC dan China menawarkan pasaran berpotensi besar untuk produk halal.

“Dengan menyelaraskan jadual pengeluaran kedua-dua negara, terutamanya dalam produk makanan, rantaian bekalan boleh dioptimumkan.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memanfaatkan Malaysia dan Thailand, tetapi juga menyokong rantau lebih luas dengan menyediakan produk halal berkualiti tinggi dan menangani isu keterjaminan makanan.”

Pada 6 Mei lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata, projek ECRL merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai kemajuan 82.45 peratus setakat bulan lalu, dengan pemasangan landasan sepanjang 400km dari Maran, Pahang ke Kota Bharu sudah siap.

Jajaran ECRL sepanjang 665km dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak di Selangor dijangka siap pada Disember 2026.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat