KUALA LUMPUR – Kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang cemerlang membuatkan Pas terbuka mendukung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang PRN kata Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Aliakbar Gulasan.
Pun begitu katanya sehingga kini pihaknya bersama Perikatan Nasional (PN) masih berunding mencari rakan muafakat politik.
“Kita cari rakan-rakan yang sesuai dengan prinsip sama. Cuma, jujur saya katakan Sabah bawah kepimpinan Hajiji masih cemerlang dalam kalangan ketua menteri Sabah. Jadi, tidak salah saya dan rakan-rakan (dalam Pas) mendukung GRS.
“Kami akan bertanding dengan bendera rakan muafakat. Siapa menjadi rakan muafakat masih lagi dalam perbincangan,” katanya Adun lantikan itu lapor FMT pada Khamis.
Mengulas sasaran minimum PAS bertanding sekurang-kurangnya enam daripada 73 DUN Sabah, Aliakbar berkata ia melibatkan kerusi majoriti Islam.
“Sabah perlu calon yang bekerja untuk rakyat dan punyai citra membangunkan Sabah. Ahli dan penyokong PAS boleh menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana rakan muafakat,” katanya.
Aliakbar antara enam Adun dilantik kerajaan Sabah selepas PRN 2020. Sebagai rekod, PAS tidak pernah menang sebarang kerusi sejak menyertai PRN itu.
Pas mengesahkan akan bertanding di sekurang-kurangnya enam daripada 73 kerusi DUN Sabah pada PRN, dengan kemungkinan menggunakan logo parti gabungan bersama PN.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun agihan kerusi secara terperinci belum dimuktamad, parti itu mengenal pasti kawasan bakal ditandingi selain meneroka ruang kerjasama politik dengan parti tempatan, termasuk GRS.
Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya PN Tan Sri Annuar Musa, secara peribadi juga mencadangkan gabungan itu bertanding bawah GRS sebagai isyarat menyokong Sabah mempunyai ‘payung’ mereka sendiri.