KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menyifatkan calon Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai panglima PKR yang membawa seruan damai untuk semua.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, PKR ketika ini memerlukan seorang tokoh yang signifikan untuk kembali menerajui parti di posisi yang jauh lebih penting.
“Damai, begitulah momentum akar rumput yang diangkat bersama iltizam ” bersama membina parti kita”. Ketika ini parti memerlukan seorang tokoh yang signifikan untuk kembali menerajui parti di posisi yang jauh lebih penting.
“Ahli parti jauh lebih mengenali beliau dan tahu kemampuan beliau yang sentiasa tampil dengan seruan-seruan hikmah.
“Kredibiliti beliau tidak perlu dipertikaikan. Malah ini adalah pentas beliau yang telah bersama membina PKR dalam segala mehnah dan tribulasi.
“Nurul Izzah adalah Nurul Izzah. Panglima PKR yang membawa seruan damai untuk semua,” ujar Fadhlina.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga memberitahu, Nurul Izzah tidak pernah hilang bahkan tidak pernah berehat.
“Malah seluruh kehidupannya adalah untuk perjuangan ini.
“Seruan damai yang beliau anjurkan adalah pernyataan matang seorang pemimpin yang mahu menerajui parti ini dengan lebih baik.
“Bersama membina parti kita adalah anjuran yang tepat memperlihatkan komitmen beliau untuk terus bersama anggota akar rumput memperkukuhkan parti keramat ini,” katanya.