KUALA LUMPUR – Armada Bersatu menggesa supaya sebarang perbincangan menaikkan gaji ahli Parlimen dihentikan.
Sebaliknya Penolong Setiausaha Armada Fahim Farid mendesak ahli Parlimen fokus kepada penyelesaian sebenar iaitu pengagihan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira blok politik.
“Juga dituntut memperkukuh institusi Parlimen dengan reformasi menyeluruh, bukan sekadar pindaan akta bersifat kosmetik yang mengekalkan ketidakadilan.
“Jangan bercakap soal gaji jika tanggungjawab dan keadilan kepada rakyat pun masih belum ditunaikan,” bidas Fahim.
Baru-baru ini Ahli Parlimen PKR Wong Chen menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji wakil rakyat dengan alasan langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan tugas berjalan lebih cekap dan berkesan.
Wong Chen yang juga wakil rakyat kerajaan berkata gaji ahli parlimen pada masa ini dianggap terlalu rendah, memandangkan mereka bukan sahaja perlu menyara keluarga, tetapi juga pegawai dan kakitangan di pejabat mereka.
Fahim menegaskan, Armada tidak bersetuju terhadapcadangan menaikkan gaji ahli Parlimen pada ketika ini.
“Cadangan tersebut, yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Subang, adalah tidak bertepatan dengan keperluan semasa negara dan realiti rakyat di bawah.
“Negara sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang amat membebankan, harga barang melambung, subsidi disasar, cukai diperluas, dan peluang pekerjaan tidak stabil. Dalam keadaan sebegini, apa logiknya cadangan menaikkan gaji ahli politik?
“Sebaliknya, isu sebenar yang sepatutnya menjadi fokus adalah ketidaksaksamaan dalam agihan peruntukan ahli Parlimen,” katanya.
Fahim juga menambah, ahli Parlimen kerajaan kini menerima RM3.8 juta setahun sebagai peruntukan kawasan RM300,000 setahun sebagai peruntukan pengurusan pejabat (outgrant) akses kepada pelbagai kemudahan dan sokongan kerajaan.
“Ahli Parlimen pembangkang pula menerima:
Kosong. Tiada satu sen pun. Semua urusan pengurusan pejabat, khidmat rakyat dan program komuniti perlu digerakkan sendiri tanpa bantuan rasmi kerajaan.
“Perlu juga diingat bahawa majoriti Ahli Parlimen PN mewakili kawasan majoriti Melayu, iaitu komuniti yang kini paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan keperluan asas. Namun, peruntukan terus disekat bukan kerana gagal bekerja, tetapi hanya kerana mereka pembangkang. Lebih mengecewakan, ketika Akta Perkhidmatan Parlimen dibentangkan baru-baru ini, tiada pun penyelesaian tuntas diberikan terhadap isu peruntukan tidak seimbang ini.
“Akta tersebut, yang dikatakan sebagai
langkah reformasi, hanyalah kosmetik. Langsung tidak menyentuh isu struktur sebenar yang perlu diperbetulkan jika kerajaan benar-benar mahu
memartabatkan Parlimen,” ujarnya.