Facebook Gantung 200 Aplikasi Kes Salah Guna Data

WASHINGTON – Facebook, semalam menggantung kira-kira 200 aplikasi di media sosial itu sebagai sebahagian siasatan mengenai salah guna data peribadi pengguna.

Siasatan dilancarkan selepas pendedahan firma perunding politik, Cambridge Analytica mengambil data 87 juta pengguna Facebook tanpa izin ketika kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016.

“Proses siasatan berjalan lancar. Kami mempunyai sepasukan ramai pakar dalaman dan luaran untuk menyiasat aplikasi ini secepat mungkin.

“Sehingga kini, ribuan aplikasi disiasat dan kira-kira 200 digantung, sementara menunggu siasatan menyeluruh mengenai sama ada ia memang menyalah guna data,” kata kenyataan atas talian dari naib presiden rakan produk Facebook, Ime Archibong.

Beliau menambah, sebaik menemui bukti aplikasi berkenaan memang menyalah guna data, ia akan diharamkan dan memberitahu pengguna menerusi laman web.

Pendedahan berhubung Cambridge Analytica mencetuskan siasatan Eropah dan Amerika Syarikat dan menyebabkan Facebook mengetatkan dasarnya mengenai bagaimana data peribadi dikongsi dan diakses.

Facebook membuat perubahan dasar pada 2014 mengehadkan akses kepada pengguna data tetapi mengaku beberapa aplikasi masih mempunyai data yang diperoleh sebelum semakan dibuat.

“Masih banyak kerja perlu dilakukan untuk mengenal pasti semua aplikasi yang mungkin menyalah guna data pengguna Facebook dan ia akan mengambil masa,” kata Archibong. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.