Tragedi Lombong SOMA: 238 Maut

Soma, Turki: Sekurang-kurangnya 238 pekerja lombong arang batu di barat Turki maut manakala nasib hampir 200 yang lain belum diketahui selepas letupan bawah tanah semalam berlaku dalam kejadian disifatkan antara kemalangan lombong paling teruk di negara itu.

Sebaik matahari terbit, pekerja penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mayat dari lokasi berkenaan, namun harapan menemui mangsa hidup semakin pudar.

Semua mayat yang ditemui ditutup dengan selimut dan berwajah hitam seperti arang sebelum disusun bagi membolehkan anggota keluarga membuat pengecaman.

Wajah pasukan penyelamat – yang kebanyakannya juga pekerja lombong – juga hitam akibat terpalit arang.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berpunca daripada unit pengagihan kuasa meletup dan terbakar.
Seorang lelaki yang enggan dinamakan berkata, dia membawa pasukan 10 pelombong kira-kira satu kilometer ke dalam tempat kejadian sebelum menemui tiga mayat.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak dapat bertahan lama di situ kerana sukar bernafas akibat asap tebal kesan letupan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi lelaki dilihat keluar dari lombong berkenaan sambil menangis meratapi rakannya yang terkorban diikuti dua kumpulan mengusung beberapa mayat.

Menteri Tenaga Turki, Taner Yildiz berkata, 787 orang berada di dalam lombong arang batu di Soma itu ketika kejadian. Seramai 363 berjaya diselamatkan setakat malam tadi.

“Bagaimanapun, harapan untuk menemui mangsa yang terselamat semakin pudar.

“Operasi juga terhalang kerana gas beracun masih ada di dalam lombong berkenaan,” katanya.

Menurutnya, 57 disahkan cedera dalam kejadian berkenaan. Kira-kira 400 anggota pasukan penyelamat terbabit dalam usaha itu.

Katanya, letupan berlaku ketika pekerja sedang bersedia untuk pertukaran syif.

“Maknanya, jumlah korban mungkin lebih ramai,” katanya.

Menurut Taner, api masih dilihat di dalam lombong itu 18 jam selepas letupan manakala udara di dalam dipenuhi asap dan abu. Punca kematian mangsa dipercayai akibat keracunan karbon monoksida.

Difahamkan, ada pekerja yang berada 420 meter di dalam lombong. Mereka gagal menggunakan lif untuk menyelamatkan diri berikutan kuasa elektrik turut terjejas akibat kejadian.

Pekerja lombong berhampiran turut menghulurkan bantuan termasuk seorang lelaki berusia 30 tahun yang berusaha mencari abangnya yang hilang.

“Saya hanya berjaya masuk sehingga 150 meter di dalam lombong itu sebelum terpaksa keluar.

“Sukar bernafas akibat gas dan asap tebal. Saya rasa memang tiada harapan lagi,” katanya.

Anggota keluarga mangsa turut dilihat berada di tempat kejadian dengan harapan dapat mengenal pasti orang tersayang yang mungkin terkorban.

Seorang lelaki warga emas pula dilihat meraung selepas mengenal pasti satu mayat dan terpaksa dihalang daripada memasuki ambulans bersama jenazah.

Sepanjang malam, orang ramai dilihat bersorak dan bertepuk tangan setiap kali ada mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Puluhan ambulans juga bertugas tanpa henti untuk membawa mangsa yang terselamat dan mayat yang ditemui dari situ.

Polis turut mendirikan sekatan serta membuat kawalan di hospital Soma untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun di situ.

Sementara itu, di Istanbul ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar ibu pejabat syarikat SOMA Komur Isletmeleri AS yang memiliki lombong berkenaan.

Menurut kenyataan syarikat itu, kejadian berlaku walaupun pelbagai langkah keselamatan dan kawalan dilakukan secara berterusan.

“Kami sedang menyiasat punca kejadian, namun buat masa ini keutamaan syarikat adalah memastikan pekerja diselamatkan dan disatukan dengan keluarga mereka,” katanya.

Kementerian Keselamatan Buruh dan Sosial berkata, lombong itu diperiksa lima kali sejak 2012 – termasuk pada Mac lalu – dan tidak menunjukkan sebarang masalah atau pelanggaran peraturan keselamatan.

Bagaimanapun, parti pembangkang utama Turki mendakwa pentadbiran Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini menolak cadangan untuk melakukan inkuiri parlimen terhadap beberapa kemalangan kecil di lombong sekitar Soma.

Presiden Erdogan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari dan mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang.

Dia turut menangguhkan lawatan ke Albania sebaliknya bercadang melawat Soma.- AP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.