Rujuk, Fiza Serah Kepada Takdir

DALAM kamus hidup setiap individu yang bergelar isteri, tiada siapa yang sanggup melihat ikatan yang terbina bersama suami terputus di tengah jalan. Apatah lagi jika ikatan itu hadir hanyalah sebentar sebelum masing-masing berpisah membawa haluan sendiri.

Itulah yang dialami oleh penyanyi dan pelakon Fiza Elite, 33, apabila mahligai perkahwinan yang dibina bersama suaminya, Adam AF, hanya mampu bertahan untuk tempoh tujuh bulan sahaja.

Mereka bernikah pada September 2013, sebelum Fiza memfailkan perceraian pada April tahun ini.

Walaupun sudah dua kali melalui episod duka, Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim tetap cekal dan tabah menghadapi situasi tersebut.

Ketika berpeluang berbual dengannya menerusi panggilan telefon semalam, Fiza yang juga merupakan seorang pelakon mengakui tenang dan sentiasa berserah kepada takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Ibu kepada Ferra Aryanna, 6, dan Feeya Adyrra, 5, itu turut berkongsi tentang usahanya memperbaiki diri serta perkembangan terbaharunya sebagai anak seni. Ikuti temu bual selanjutnya:

Kosmo!: Bagaimanakah keadaan Fiza selepas bergelar ibu tunggal?

FIZA: Alhamdulillah, kehidupan saya semakin tenang. Saya menerima apa sahaja yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dengan hati terbuka.

Mengapakah sebelum ini anda terlalu berat untuk memberitahu pihak media tentang kisah sebenar di sebalik keretakan rumah tangga anda?

Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana ingin memberitahu umum tentang kisah perceraian kami. Sebagai seorang manusia biasa, ada beberapa perkara yang boleh dikongsi dan ada yang perlu disimpan.

Mungkin disebabkan saya seorang artis, maka ramai yang ingin mengetahui tentang kisah peribadi kami.

Selepas bercerai, bagaimanakah hubungan anda dengan Adam?

Hubungan kami masih dalam keadaan baik.Majlis Pernikahan artis Adam AF bersama Fiza Elite di Pejabat Agama Shah Alam

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, anda seperti mahu berbaik dan merujuk semula dengan Adam. Bolehkah anda komen sedikit mengenai perkara itu?

Dalam setiap perkara, kita sering mengharapkan yang terbaik. Dalam hal ini, saya serahkan kepada kuasa Allah SWT. Disebabkan rencananya saya berkahwin, dan kerana takdirnya juga saya berpisah. Jika Dia berkehendakkan sesuatu, kita tidak boleh menghalang.

Jadi, anda tidak menolak jika ditakdirkan kembali bersama?

Saya tidak boleh memberikan sebarang komen dengan lanjut. Sebagai seorang wanita, saya perlu berhati-hati. Banyak hati yang perlu saya jaga. Apa yang boleh saya katakan, doakan sahaja yang terbaik untuk saya.

Masihkah anda menyimpan perasaan terhadap Adam?

Sebagai pasangan yang berpisah tanpa perbalahan, saya akui masih terasa apabila Adam tiada di sisi. Sementelah, saya juga masih dalam tempoh edah dan tidak membuka hati untuk berkenalan dengan lelaki lain.

Sebab itu seperti yang saya katakan tadi, jika Allah berkehendak kami kembali bersama misalnya, saya serahkan segala- nya kepada takdir.

Siapakah yang banyak memberikan sokongan ketika ini?

Kawan baik saya, Lisdawati yang selalu memberikan semangat serta nasihat kepada saya.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Buat masa ini saya terlibat dengan program motivasi yang dianjurkan oleh Perbadanan Filem Malaysia (Finas) di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Saya dijemput bagi memberikan ceramah mengenai dunia lakonan. Selain saya, rakan-rakan artis seperti Lisda dan Azza Elite juga turut serta dalam program ini.

Anda dilihat lebih menonjol sebagai pelakon. Adakah anda tidak mahu kembali beraksi di hadapan kamera?

Buat masa ini, saya bercadang untuk memperlahankan karier saya sebagai seorang pelakon.

Namun, saya teringin untuk mencuba bidang lain seperti pengarahan filem atau drama.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.