Pemandu Peribadi Tak Mengaku Salah Atas 484 Tuduhan Lupus Duit

KLANG 14 Mei – Tempoh masa hampir satu jam diperlukan oleh jurubahasa Mahkamah Majistret di sini hari ini, untuk membaca 484 pertuduhan melupuskan harta curi berupa wang berjumlah lebih RM643,000 yang dihadapi oleh seorang pemandu peribadi kepada seorang ahli perniagaan.

Sebaik sahaja semua pertuduhan selesai dibacakan, Saidina Azzuanira Saidina Othman, 43, membuat peng­a­kuan tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd. Fadhly Yaacob.

Saidina Azzuanira didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan cara memindahkan wang berjumlah RM643,897.42 melalui beberapa transaksi ke akaun bank milik syarikat miliknya, Mai Trading.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 3 Januari 2012 dan 30 Januari 2013 di Hong Leong Bank cawangan Pelabuhan Klang di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latif yang mengendalikan pendakwaan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan Saidina Az­zuanira menghadapi tuduhan yang banyak serta membabitkan jumlah kerugian yang tinggi.

Mahmoodah juga menyatakan, pertuduhan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Beliau turut memohon agar kes Saidina Azzuanira dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes membabitkan isterinya.

Pada 14 Jun tahun lalu, isteri tertuduh, Mai Shahira Ishak, 37, dari syarikat logistik, UTI Worldwide (M) Sdn. Bhd. didakwa atas 489 tuduhan pecah amanah dengan membuat bayaran menggunakan cek milik majikannya berjumlah RM647,445.37 kepada syarikat Mai Trading.

Kes itu akan disebut di Mah­kamah Sesyen Shah Alam esok.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.