Nasri, Abidal Tidak Terpilih Untuk Piala Dunia

PARIS – Walaupun begitu menyerlah ketika membantu Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris, Samir Nasri masih tidak terpilih ke dalam skuad kebangsaan Perancis untuk Piala Dunia 2014.

Senarai rasmi 23 pemain Perancis berserta tujuh pemain simpanan diumumkan oleh pengurus pasukan, Didier Deschamps semalam.

Nasri yang memiliki reputasi mencetus masalah dan begitu mengecewakan ketika Les Bleus menentang Ukraine dalam playoff tahun lalu, gagal menyertai senarai itu bersama-sama seorang lagi bintang terkenal ia­itu pemain pertahanan AS Monaco, Eric Abidal.

Abidal yang digunakan sebagai pemain sparring oleh Claudio Ranieri di Monaco pada separuh kedua musim ini dianggap tidak cukup bagus untuk mewakili Pe­rancis.

Stesen radio Perancis, RMC melaporkan Abidal, 34, akan bersara daripada persada bola sepak antarabangsa.

“Samir merupakan pemain pen­ting bagi City tetapi dia tidak mempamerkan kebolehannya dengan baik semasa mewakili Perancis.

“Dia merupakan salah seorang pemain utama di City tetapi tidak dalam skuad Perancis dan dia se­ringkali menunjukkan perasaannya apabila tiada dalam kesebelasan utama dan perkara itu boleh dirasai oleh rakan-rakan sepasukan.

“Saya membentuk pasukan terbaik, saya bukannya memilih 23 pemain terbaik Perancis,” kata Deschamps.

Nasri pernah digantung seba­nyak tiga perlawanan selepas mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang wartawan setelah Perancis kalah kepada Sepanyol di suku akhir Euro 2012.

Pertahanan kiri City, Gael Clichy yang membuat penampilan dalam Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 juga tidak disenaraikan, dan Deschamps lebih gemar untuk merekrut pemain muda berbakat dari Paris St. Germain (PSG), Lucas Digne walaupun kurang berpengalaman.

Deschamps me­nyandarkan harapannya di bahagian hadapan kepada pemain sayap Ba­yern Munich, Franck Ri­bery dan Mathieu Valbuena untuk menyokong penyerang Real Madrid, Karim Benzema.

Bagi posisi tengah, dua pemain PSG, Yohan Cabaye dan Blaise Matuidi bakal bergandingan dengan pemain Juventus, Paul Pogba sementara pertahanan tengah akan menjadi rebutan Raphael Varane, Mamadou Sakho dan Laurent Koscielny.

Tujuh pemain simpanan, termasuk pemain tengah Southampton, Morgan Schneiderlin, akan ber­ada dalam pasukan hingga 28 Mei.

Perancis akan berdepan dengan Swirtzerland, Ecuador dan Honduras selepas diundi bersama dalam Kumpulan E.

Les Bleus akan bermain dalam perlawanan pemanas badan menentang Norway (27 Mei), Paraguay (1 Jun) dan Jamaica (8 Jun) sebelum memulakan kempen Piala Dunia dari 12 Jun hingga 13 Julai. – REUTERS

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.