Lelaki Asia Selatan Rancang Serangan Keganasan Di India Ditahan

PETALING JAYA: Seorang lelaki dari Asia Selatan telah ditahan berkaitan aktiviti keganasan dan didakwa merancang menyerang konsulat asing di India.

Unit Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman menahan lelaki terbabit kira-kira pukul 11.15 pagi Rabu berikutan serbuan di sebuah kawasan perumahan di Kepong.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata lelaki itu dipercayai terlibat dalam rancangan untuk menyerang konsulat asing di Chennai dan Bangalore di India.

Beliau berkata unit itu telah memantau lelaki itu sejak Disember tahun lalu selepas “kami mendapati dia terbabit dalam serangan keganasan yang dirancang.”

Mohd Bakri, dalam satu kenyataan berkata maklumat yang diperolehi daripada pengawasan terhadap lelaki itu telah disalurkan kepada pihak berkuasa India pada 9 April.

Pada 29 April, tiga lelaki telah ditahan di India, kesemuanya dipercayai menjadi pemain utama dalam kumpulan rangkaian pengganas.

“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi asing yang lain untuk mencegah serangan di rantau ini dan juga di peringkat global.

“Suspek telah ditahan di bawah Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” kata Mohd Bakri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.