Kemelut Melanda Terengganu Selesai

PUTRAJAYA 14 Mei – Selepas dua hari kemelut politik melanda Te­rengganu ekoran pertukaran pucuk pimpinan negeri, akhirnya konflik tersebut selesai apabila isu keluar UMNO oleh bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said berjaya diatasi.

Perkembangan tersebut adalah hasil daripada perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahmad yang mengesahkan bekas menteri besar itu kesal dengan apa yang berlaku dan menarik balik segala kenyataannya sebelum ini.

Menteri Besar Terengganu yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, beliau cukup yakin dan percaya bahawa Ahmad akan terus bersama-sama menyokong kepemimpinan negeri.

“Ini yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri. Berlaku komunikasi antara beliau dan Ahmad dan jawapannya positif. Kita tunggulah. Insya-Allah dalam sedikit masa lagi kita akan mendapat menerima maklum balas seperti mana yang dihasratkan oleh kita semua.

“Saya juga pernah bekerja dengan Datuk Seri selama enam tahun dan saya penuh yakin dan percaya bahawa beliau akan bersama dengan kita semua,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd.Zubir Embong telah mengadakan pertemuan bagi bertukar-tukar pandangan dengan Perdana Menteri selama satu jam.

13 ADUN tersebut ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Datuk Mohd. Jidin Shafee (Permaisuri), Rozi Mamat (Telemong), Rosli Othman (Kemasik), A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Turut sama, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih), Muhammad Pehimi Yusof (Jertih), Datuk Sabri Mohd. Noor (Langkap), Mohd. Mahdi Musa (Kota Putera), Bazlan Abd. Rahman (Batu Rakit), Mohd Iskandar Jaafar (Jabi) dan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (Besut).

Bagaimanapun, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad tidak hadir dalam pertemuan itu kerana beliau dikatakan tidak sihat namun Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri itu menyatakan sokongan terhadap Ahmad Razif.

Pertemuan 13 ADUN bersama Perdana Menteri itu dikatakan adalah kali kedua selepas mereka mengadakan perbincangan di kediaman peribadi Najib di Jalan Duta, malam tadi.

Krisis politik Terengganu bermula selepas pelantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar yang baharu dan menyebabkan Ahmad serta ADUN Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Selain itu, Ahmad Razif berkata, rakyat turut menerima baik peralihan teraju kepemimpinan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berikrar untuk meneruskan agenda merakyatkan pembangunan dengan memberi tumpuan kepada bidang pendidikan selain memastikan kekuatan ekonomi rakyat negeri Terengganu terus dipacu.

“Kita mahu nasib rakyat Terengganu terus terbela dan kita juga mahu negeri Terengganu akan menjadi sebuah negeri yang maju. Penting juga kita menyediakan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Terengganu akan kita jadikan sebagai ‘simpanan tetap’ kepada Barisan Nasional (BN) seperti mana yang saya telah janjikan kepada Perdana Menteri sebentar tadi. Saya dan semua ADUN BN akan bekerja dalam satu pasukan,” ujarnya.

Beliau turut mengakui kemelut yang berlaku sejak dua hari itu mempunyai hikmah antaranya merupakan peluang terbaik untuk memantapkan lagi kekuatan BN di Terengganu.

“Walau apa pun saya melahirkan rasa syukur bahawa kemelut yang berlaku di Terengganu ini tidak seperti mana digembar-gemburkan dan kita sudah sedia maklum bahawa dengan apa yang berlaku ini banyak pihak yang mengambil peluang dan kesempatan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.