Kembali Pada Parti Bukan Sebab Imbuhan

PUTRAJAYA – Adun Bukit Besi Roslee Daud, yang kembali kepada Umno, menjelaskan keputusan keluar parti yang dibuat, adalah reaksi spontan apabila mengetahui penggantian Menteri Besar Terengganu.

Beliau berkata, tindakan keluar parti ketika itu disebabkan semangat setia kawan kepada Datuk Seri Ahmad Said yang terpaksa melepaskan jawatan menteri besar kepada Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

“Saya terkejut dan terus bertindak begitu. Saya benar-benar menyesal dan memohon maaf kepada semua pihak, termasuk pengundi di kawasan saya, pucuk pimpinan parti dan kepada warga Terengganu.

“Walau apa pun, saya berharap, dengan kembalinya saya kepada parti dapat menguatkan semangat dalam diri saya untuk bersama pemimpin lain menabur khidmat dan bakti kepada penduduk negeri,” katanya selepas sidang media khas Adun Terengganu, di pejabat perdana menteri, di sini, semalam.

Ditanya, adakah tindakan keluar parti sebagai taktik parti, Roslee berkata, perkara itu tidak pernah wujud.

“Apa yang saya buat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi orang luar. Saya sudah lama mengenali Ahmad Said. Jadi, apa yang berlaku padanya menyebabkan saya ambil keputusan drastik itu.

“Tetapi selepas beberapa ketika, setelah saya berfikir semasak-masaknya dan mendapatkan pandangan kawan-kawan, baru saya sedar, saya tidak patut buat macam tu kerana perjuangan saya bersama parti sudah begitu lama sejak saya muda lagi,” katanya.

Roslee turut menafikan dakwaan keputusan kembali kepada Umno adalah disebabkan imbuhan bagi mengelakkan berlakunya pembubaran Dun.

“Saya sedih dengar dakwaan seperti ini, sedangkan apa yang saya atau pemimpin buat keputusan semuanya atas kehendak diri dan bukannya kerana benda lain, termasuk imbuhan yang seperti dikatakan itu.

“Perjuangan dalam parti adalah ikhlas. Saya berharap tidak ada lagi wujud isu seperti ini kerana ia boleh merosakkan nama parti,” katanya.

Semalam, Roslee dilaporkan kembali kepada Umno setelah membuat kenyataan keluar parti kira-kira 12 jam sebelum itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.