Tun M, Muhyiddin dan Daim tak campur tangan dalam pendakwaan Najib 1MDB – bekas KPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, tiada pendakwaan dikenakan terhadap individu dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih berada di negara ini kerana mereka akan dijadikan saksi dalam pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang memberikan keterangan hari ini berkata beliau dimaklumkan berhubung perkara itu oleh pegawai penyiasat skandal 1MDB, Asisten Komisioner (ACP) R Rajagopal.

Menurutnya, sejak mula dilantik sebagai KPN, beliau dimaklumkan oleh Rajagopal mengenai cadangan untuk mendakwa Ahli Lembaga Pengarah dan ahli pengurusan 1MDB di bawah kesalahan mengikut Kanun Keseksaan.

Katanya, beliau juga dimaklumkan oleh Rajagopal, bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas telah beberapa kali ditaklimatkan mengenai cadangan pertuduhan sejak Julai 2018.

“Tan Sri Tommy Thomas telah mengarahkan pihak polis untuk memfailkan pertuduhan terhadap beberapa individu yang telah melarikan diri dari Malaysia dan untuk mendapatkan waran tangkap ke atas mereka.

“Pegawai Penyiasat ACP Rajagopal turut memaklumkan kepada saya bahawa tiada pertuduhan telah diarahkan bagi individu lain di dalam pengurusan 1MDB yang masih berada di Malaysia memandangkan mereka akan dijadikan saksi di dalam pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib,” lapor BH pada Selasa.

Fuzi yang juga saksi pembelaan ke-19 berkata demikian ketika memberikan keterangan pada perbicaraan kes 1MDB di mana Najib membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Fuzi berkata tiada campur tangan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kapasiti Menteri Dalam Negeri, dan Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan, dalam keputusan untuk mendakwa Najib berkaitan skandal 1MDB.

Menurutnya, meskipun taklimat siasatan diberikan kepada ketiga-tiga individu itu pada tahun 2018, keputusan pendakwaan dibuat sepenuhnya oleh Thomas.

Beliau berkata, taklimat itu dilakukan secara berasingan oleh Rajagopal pada bulan Mei, Julai, dan Ogos 2018.

Fuzi berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat