Sultan Perak Titah Perangi Politik Kebencian, Tangani Krisis Alam Sekitar dan Kemiskinan

- Advertisement -

IPOH, 15 April – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah agar semua pihak menghentikan budaya politik kebencian dan menolak eksploitasi isu agama serta kaum yang boleh mengancam keharmonian negara.

Titah diraja tersebut disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Kelima Belas yang berlangsung pagi tadi di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam titah penuh hikmah berdurasi hampir satu jam itu, Sultan Nazrin mengingatkan bahawa keamanan dan kestabilan negara adalah hasil perjuangan generasi terdahulu, yang tidak seharusnya digadaikan akibat perpecahan politik atau agenda sempit.

“Semakin subur budaya fitnah, semakin sarat budaya yang merestui perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah lawan politik, dan semakin luntur nilai keinsanan dan kemanusiaan,” titah baginda.

Pencapaian Ekonomi dan Keprihatinan Sosial

Baginda turut menyentuh perkembangan ekonomi negeri yang memberangsangkan, dengan kutipan hasil mencecah RM1.33 bilion pada tahun 2024 dan tiga tahun berturut-turut mencatatkan lebihan belanjawan.

Bagaimanapun, Sultan Nazrin mengingatkan bahawa pembangunan tidak boleh bersifat eksklusif, sebaliknya mesti menjamin kesejahteraan golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Baginda mendedahkan hampir 9,000 ketua isi rumah telah berjaya dikeluarkan daripada kategori kemiskinan tegar melalui pelbagai program kesejahteraan rakyat termasuk Skim Sewa Perak Sejahtera, program latihan keusahawanan dan pusat sehenti bantuan sosial.

Antara perkara paling tegas disentuh dalam titah baginda ialah isu lambakan e-waste (sisa elektronik) dan pencemaran plastik yang disifatkan sebagai “krisis global” yang mengancam kehidupan marin dan masa depan ekologi negara.

Merujuk kepada serbuan pihak berkuasa terhadap sebuah kilang haram di Sungai Siput pada Februari lalu, baginda bertitah bahawa:

“Lambakan e-waste perlu diberikan perhatian serius… premis haram ini menjalankan pemprosesan secara tidak terkawal, menyebabkan pencemaran udara, tanah dan air. Ia adalah perbuatan jenayah.”

Baginda turut menzahirkan kekesalan apabila kilang sebesar itu boleh terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa tempatan dan persekutuan.

Teknologi AI dan Masa Depan Pendidikan

Sultan Nazrin turut menyentuh keperluan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam dan pendidikan, menyifatkan AI sebagai “kuasa transformatif” masa depan.

Baginda menegaskan bahawa mengadaptasi AI bukan lagi satu pilihan, tetapi kewajipan untuk memastikan negeri dan negara tidak tercicir dalam gelombang Revolusi Industri 4.0.

Mengakhiri titah, Sultan Nazrin menyampaikan pesanan penuh makna tentang nilai ihsan dan keinsanan, menyeru agar rakyat menolak ekstremisme agama dan perkauman serta kembali kepada prinsip kasih sayang dan toleransi sejagat.

Baginda turut memuji tindakan pemimpin masjid dan kuil di Putera Heights yang saling membantu mangsa letupan paip gas, sebagai contoh perpaduan sebenar tanpa mengira kaum dan agama.

“Rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik memecah belah, boleh hidup secara aman – secara harmoni,” titah baginda.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat