KUANTAN, 15 April – PAS Pahang menganggap tindakan kumpulan SAMKA menyerahkan petisyen 400 tandatangan kepada Perdana Menteri dan Sultan Pahang sebagai cubaan mencabar titah dan kedaulatan negeri berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub.
Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap titah Sultan Pahang yang sebelum ini secara jelas mempertahankan tanah milik kerajaan daripada sebarang pencerobohan haram.
“Insiden di Raub bukan soal petani kecil seperti yang digambarkan. Ia melibatkan pencerobohan haram ke atas tanah beribu-ribu ekar selama lebih 40 tahun — satu bentuk jenayah terancang yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menambah, pihak yang menandatangani petisyen itu seolah-olah cuba mewajarkan perbuatan jenayah, sekali gus mencabar undang-undang negara serta kedaulatan institusi diraja.
“Bayangkan jika anda memiliki sebidang tanah, kemudian seseorang datang, merampas dan mengusahakannya selama 40 tahun, dan kini ada pula pihak ketiga yang menandatangani petisyen meminta agar perampas itu dibenarkan terus merampas harta anda. Adakah ini adil? Adakah ini yang dipanggil keadilan?” soal beliau.
Mengulas dari sudut perundangan, beliau menjelaskan bahawa Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984 jelas menyatakan pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan adalah kesalahan serius yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM500,000.
Namun, menurut beliau, kumpulan yang menyokong petisyen itu seolah-olah mengabaikan undang-undang dan bertindak memberi perlindungan kepada penjenayah tanah.
“Individu yang menandatangani petisyen itu sewajarnya disiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam kegiatan jenayah,” katanya.
Justeru, PAS Pahang menuntut supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera untuk menyiasat bagaimana pencerobohan berskala besar ini boleh berlanjutan selama empat dekad tanpa tindakan.
“Kami menuntut agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk dengan segera untuk menyiasat bagaimana kegiatan pencerobohan berskala besar ini dapat berlangsung selama 40 tahun tanpa tindakan. Siapa yang melindungi? Siapa yang bersubahat? Dan yang paling penting, siapa pegawai-pegawai kerajaan yang secara langsung atau tidak, gagal menjalankan tugas mereka selama empat dekad? Semua pihak yang terlibat, dari penceroboh hingga pegawai-pegawai yang berkompromi, harus ditahan, disiasat dan didakwa tanpa kompromi kerana inilah satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang dan menghormati titah Sultan Pahang,” tegas Rosli.