KUALA LUMPUR – Pejabat pentadbiran Pas pusat berserta projek dewan konvensyen parti Islam itu akan berwajah futuristik namun tidak meminggirkan elemen Islamik.
Bendahari Pas Datuk Ir Iskandar Abdul Samad berkata, kompleks berkenaan akan menggambarkan peluang untuk Pas memberikan mesej kepada dunia bahawa Pas sedang bergerak ke hadapan.
Beliau yang juga arkitek memaklumkan, kompleks itu merupakan satu “signature building” yang melambangkan aspirasi Pas untuk memimpin rakyat dan negara ke arah negara maju.
“Ini adalah design awal projek dewan konvensyen dan pusat pentadbiran Pas Pusat yang baharu. Walau bagaimanapun kami terbuka kepada cadangan dan komen.
“Saya tahu ada yg berkata design ini tidak nampak seperti bangunan Pas. Sebenarnya apa ciri-ciri bangunan Pas? Ada menara? Ada arches? Ada kubah?
“Isu apakah ciri-ciri design Pas mungkin sama seperti perdebatan apakah “Islamic Architecture” atau “Malaysian Architecture” yang berlaku pada tahun-tahun 80an dan 90an.
Pandangan dan pendirian saya mungkin berbeza daripada ramai daripada kita. Saya pernah design sebuah surau tanpa kubah dan menara. Pada saya tidak perlu kubah untuk “air circulation” kerana surau itu aircond. Tidak perlu menara tinggi kerana telah ada loudspeaker untuk azan dan memanggil ahli kariah. Saya tidak mahu “tampal-tampal” dan akhirnya menjadi “pastiche”. Tetapi akhirnya design saya ditolak.
“Pada saya kompleks ini merupakan satu peluang untuk Pas memberikan mesej kepada dunia bahawa Pas sedang bergerak ke hadapan. Kompleks ini merupakan satu “signature building” yang melambangkan aspirasi Pas untuk memimpin rakyat dan negara ke arah negara maju,” kata Iskandar.
Bekas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor (2008-2013) itu turut berkongsi dalam perbincangan dengan jawatankuasa Kompleks Pas dengan arkitek yang ditugaskan untuk menyediakan design, pihak parti ditanya hendak design macam mana?
“Tanpa berfikir panjang saya menjawab macam design Zaha Hadid. Macam bangunan Olimpik Beijing. Yang “terbang-terbang”. Sudah tentu bukan macam masjid atau bukan “JKR standard design”.
“Akhirnya terhasil design seperti yang kita semua maklum. Tetapi kami masih terbuka kepada pandangan-pandangan. Saya tahu ada profesional “old school” yg tidak bersetuju dgn design bangunan Pas seperti ini. Itu hak mereka. Tetapi jom kita bergerak dgn peredaran masa dan perkembangan trend terkini.
“Apakah trend terkini? Hari ini kita bercakap tentang green building, sustainable and eco-friendly design. Eco-conscious design. Biophilic design.
“Timbalan Presiden Pas pernah jadi Menteri Alam Sekitar (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man). Saya pun pernah jadi Chairman Malaysian Green Technology Corporation walaupun sekejap. Ada satu komen tentang design kompleks kita sebagai, “futuristic”. Saya pernah cakap bangunan kita walaupun statik tapi mesti nampak bergerak-gerak. Macam mana tu? Jom kita kekalkan konsep “futuristic” ini,” seru Iskandar.